Siakap Keli

Perkenalan Di Whatsapp, Wechat, Antara Punca Kes Rogol Bawah Umur

Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak-anak terutama yang melibatkan penggunaan aplikasi media sosial bagi mengelak mereka terjebak dengan gejala sosial.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata pemantauan secara serius dapat mencegah berlaku peningkatan kes rogol bawah umur khususnya di daerah itu.

Katanya sejak Januari lalu, sebanyak lapan kes rogol bawah umur direkodkan di daerah Kerian berbanding dua kes dalam tempoh sama tahun lepas dengan semuanya berpunca daripada perkenalan mangsa dengan suspek melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan WeChat.

“Kebanyakan kes rogol yang kita siasat berlaku atas kerelaan mangsa, walaupun ada yang baru mengenali antara satu sama lain dan kebanyakan mangsa dikenal pasti sudah tidak bersekolah,” katanya pada sumber di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di Bagan Serai hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan terdapat sebuah rumah urut dan spa kecantikan di Pusat Bandar Parit Buntar menjadi ‘lubuk’ kegiatan pelacuran secara dalam talian.

“Siasatan mendapati pusat spa kecantikan itu berlesen dan hanya menjalankan aktiviti perniagaan dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pekerja di situ menawarkan khidmat seks menggunakan aplikasi media sosial, namun tindakan itu tidak didalangi pengurusan spa,” katanya sambil menegaskan akan memantau aktiviti premis tersebut.

Sumber :Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.