Siakap Keli

(Video) ”Bukan Sebiji, Ini Sampai 3 Tan,” Angkara Durian, Penumpang Protes Tak Mahu Naik Kapal Terbang

Sebuah video penumpang penerbangan Sriwijaya Air dari Bengkulu ke Jakarta menolak menaiki pesawat tersebut kerana mencium bau durian yang menyengat di dalam pesawat menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Di dalam video tersebut, kelihatan sejumlah penumpang turun dari pesawat untuk menunjukkan protes mereka. Bukan semata-mata disebabkan bau, tetapi lebihan muatan durian di dalam pesawat sebanyak 3 tan dibimbangi akan membawa kepada risiko kecelakaan.

Menurut seorang penumpang, Amir Zidane, ketika memasuki pesawat tersebut, bau durian yang kuat sudah menusuk hidung mereka tetapi petugas memberi alasan bau tersebut akan hilang apabila pesawat berada di udara.

Kesemua penumpang yang tidak berpuas hati, akhirnya enggan menaiki penerbangan itu selepas mendapat maklumat dari petugas bahawa jumlah durian yang dibawa mencecah 3 tan.

Akhirnya, para petugas mengalah dan menurunkan sejumlah karung berisi durian dari dalam pesawat sebelum berlepas semula mengikut jadual.

Sementara itu, Sriwijaya Air dalam satu kenyataan menegaskan bahawa membawa durian dalam penerbangan tidak melanggar peraturan.

”Membawa durian dalam penerbangan itu merupakan hal yang biasa dilakukan oleh setiap pesawat selagi ia berada dalam keadaan baik di dalam kargo mengikut SOP,’ kata Pengurus Komunikasi Korporat Sriwijaya Air Group, Retri Maya.

Beliau juga menjelaskan bahawa maklumat yang diterima oleh penumpang iaitu pesawat membawa sebanyak 3 tan durian adalah tidak benar sama sekali.

”Perlu diketahui bahawa 3 tan adalah jumlah total berat bagasi dan kargo, di mana di dalamnya turut terdapat durian tersebut,” kata Maya.

Dalam kenyataannya, Sriwijaya Air juga sentiasa memastikan bahawa dalam setiap penerbangannya faktor keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi aspek yang sangat dititiberatkan.

Sumber : Amir Zidane/Antara News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.