Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dua Mualaf Sabah Sanggup Berjauhan Dengan Keluarga Demi Ilmu Agama

JITRA, (Bernama) — Walaupun baru berusia 11 tahun, Siti Nuraimisha Abdullah, anak yatim piatu dari Tuaran, Sabah, sanggup berhijrah ke negeri ini untuk mendalami ilmu agama kerana minatnya kepada ajaran Islam.

Siti Nuraimisha berkata, beliau sebelum ini tinggal dengan neneknya, Moureen Gunting, 66, seorang penganut Kristian di Sabah tetapi neneknya tidak membantah keputusannya untuk mempelajari agama Islam di Madarasah Tahfiz Taufiqillah, Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, dekat sini.

“Saya rindu pada nenek tetapi cinta saya pada Islam telah mengatasi segalanya dan sanggup berhijrah ke madrasah ini dengan dibantu pendakwah dan saya juga ada keluarga angkat di sini. Alhamdulillah, saya dilayan dengan baik dan proses pembelajaran saya lancar.

“Mula-mula saya sering menangis kerana terpaksa berjauhan dengan nenek tetapi saya tahu dengan cara inilah cita-cita saya menjadi penghafaz al-Quran dan pendakwah akan tercapai,” katanya kepada pemberita di madrasah itu di sini, hari ini.

BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seorang lagi mualaf dari Murut, Sabah, Rubiah Runney, 16, berkata dia tertarik dengan Islam selepas melihat rakan-rakan yang beragama Islam mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada sebelah petang di surau kampungnya.

Rubiah berkata, selain itu beliau juga sering dilayan dengan baik apabila bertanya mengenai agama kepada rakan-rakannya yang beragama Islam.

“Saya mendapat hidayah lima tahun lalu kerana sering bergaul dengan rakan-rakan dan jiran beragama Islam dan alhamdulillah, saya sudah menghafaz 15 juzuk al-Quran dan berharap dapat menamatkan hafazan tahun depan,” katanya yang telah belajar di madrasah itu sejak tiga tahun lalu.

Selepas tamat pengajian, Rubiah berhasrat pulang ke Sabah untuk berdakwah dan mengajar tentang Islam di kampungnya.

Siti Nuraimisha dan Rubiah merupakan dua pelajar mualaf daripada 42 pelajar Madrasah Tahfiz Taufiqillah.

Mereka dibawa ke madrasah itu atas usaha seorang pendakwah di Sabah selepas mendapat kebenaran daripada penjaga dan waris masing-masing.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.