Siakap Keli

McDonald’s Malaysia Sediakan Kelengkapan Sekolah Kepada Lebih 17,000 Pelajar Sekolah Rendah

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, ramai ibu bapa di luar sana sedang pening kepala memikirkan kelengkapan sekolah anak-anak mereka menjelang musim persekolahan pada tahun 2019. Benar, musim persekolahan tahun ini belum lagi berakhir namun sebagai ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan seawal yang mungkin sudah menjadi rutin tahunan demi keselesaan anak-anak untuk menimba ilmu.

Mungkin sesetengah daripada mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk membeli-belah peralatan sekolah. Namun, tidak semua bernasib baik dan hanya menggunakan uniform sekolah yang lama serta alat tulis yang sama kerana tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan yang serba baharu.

Dengan masalah itu, McDonald’s dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald’s mengambil peluang ini untuk bersama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dengan memberikan sumbangan berbentuk Pek Kembali Ke Sekolah kepada lebih 1,000 murid sekolah rendah yang mengandungi sepasang uniform sekolah dan beberapa kelengkapan yang lain termasuk sepasang kasut sekolah dan beg sekolah yang baharu.

Majlis pelancaran Program Komuniti yang diadakan di McDonald’s Seremban 2 itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dr Razali Ab. Malik yang mewakili YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Aminuddin Harun.

Kerajaan Negeri Sembilan menyokong usaha yang ditunjukkan oleh McDonald’s ini dan berharap banyak lagi Syarikat Korporat serta persendirian tampil menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan bagi meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.

Menurut Dr. Razali, usaha yang dilakukan oleh McDonald dan RMHC ini sangat bertepatan dengan tema Kerajaan Negeri Sembilan ianitu ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’. “ Kerjasama erat antara sektor korporat dan kerajaan negeri amat penting dalam usaha mencapai keseimbangan sosio-ekonomi negara dan negeri. Penglibatan sektor korporat untuk turut berada di barisan hadapan bersama-sama dengan pihak kerajaan amat penting bagi menggalas tanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terbela” katanya lagi.

Dalam majlis pelancaran ini juga, McDonald’s mengambil kesempatan untuk menunaikan kewajipan dengan mengeluarkan zakat perniagaan untuk Negeri Sembilan. Bagi menerima zakat tersebut, Pusat Zakat Negeri Sembilan telah diwakili oleh Ketua Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Sahibul Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad yang disampaikan oleh Encik Azmir Jaafar selaku Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.

Menurut Azmir, sebagai entiti perniagaan yang 100% dimiliki oleh umat Islam, sudah menjadi tuntutan agama untuk kami McDonald’s Malaysia mengeluarkan zakat apabila tiba masanya. Zakat juga salah satu kaedah untuk mengurangkan kemiskinan dan ia adalah wajib sebagai umat Islam.

Turut menjadi agenda utama majlis ini ialah penyampaian Surat Pelantikan kepada pelatih-pelatih program perantisan McDonald’s iaitu Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dibawah Kementerian Sumber Manusia. Mereka ini terdiri daripada anak-anak asnaf di Negeri Sembilan yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti atau kolej. Pensijilan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (DSD) merupakan satu lagi usaha murni McDonald’s bagi membantu golongan belia untuk mendapatkan pekerjaan dan membina kerjaya.

Program SLDN ini juga menyediakan asrama, makan dan minum, elaun sara hidup sebanyak RM1,200 sebulan serta faedah insurans dan perubatan. Ini menunjukkan McDonald’s serius dalam membantu masyarakat yang kurang bernasib baik untuk masa hadapan yang lebih cerah. McDonald’s juga menggalakkan lebih ramai lagi untuk turut serta dalam program ini di masa yang akan datang kerana ia bukan sahaja menyediakan sijil kemahiran malah peluang pekerjaan yang terjamin.

Azmir turut menekankan bahawa peluang bekerja di restoran McDonald’s bukan setakat di Malaysia, malah, di beberapa negara lain. Beliau berkata program pertukaran pekerja juga akan diadakan antara McDonald’s Malaysia dengan McDoland’s luar negara seperti McDonald’s Singapura, McDonald’s Jeddah dan McDonald’s Qatar.

Azmir Jaafar juga turut mengumumkan kutipan tabung RMHC yang berada di depan kaunter restoran McDonald’s bagi tahun 2018 sebanyak RM1 juta secara keseluruhan. Beliau berterima kasih kepada para pelanggan kerana tidak jemu untuk menyumbang ke tabung tersebut walaupun hanya 10 sen.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)