Siakap Keli

Pelajar Sekolah Pun Merasuah – KP SPRM

Perlakuan rasuah turut berlaku di sekolah serta melibatkan murid, demikian dedah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Pada Forum Permuafakatan SPRM-Kementerian Pendidikan di sini hari ini, Mohd Shukri  mendedahkan terdapat kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan ada juga kes untuk mendapat sokongan sebagai ketua pengawas.

“Kalau kecil-kecil macam ini sudah pandai bermain dengan duit macam mana nak harap mereka jadi pemimpin satu hari nanti,” katanya ketika menjadi panel pada forum itu, sambil menegaskan kepentingan pendidikan awal benci rasuah diterapkan.

Di sekolah juga, dedahnya terdapat kes guru meminta ‘seks’ daripada pelajar untuk lulus peperiksaan.

Mohd Shukri berkata SPRM sudah mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan dan bertemu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib peperiksaan di sekolah.

Beliau menegaskan budaya anti rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal lagi bagi mengelak ia merebak mereka apabila dewasa.

“Biar peringkat awal ditanam benci rasuah kerana kerana keadaan rasuah ketika ini amat membimbangkan,” katanya.

Mohd Shukri pada forum itu berkata pelakuan rasuah yang berlaku di negara ini sangat memalukan dan amat membimbangkan sehingga hari ini negara luar memandang Malaysia sebagai negara kleptokrasi.

“Selalu orang bertanya rasuah di Malaysia meningkat atau turun, penceramah selalu tak berani nak cakap benar, selalu cakap rasuah di Malaysia ini boleh dikawal, lebih kurang macam itu.

“Tapi saya ini tak suka cakap tak benar, saya cakap terus terang, rasuah di Malaysia membimbangkan, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2014 markah kita 52 sahaja dan menunjukkan trend penurunan sehingga kepada 47 markah tahun lalu.

“Adakah indeks ini makin baik atau makin buruk? Ini adalah fakta, kita terkenal di mata dunia sebagai negara kleptokrasi, bukan negara integriti, memang memalukan,”katanya.

“Adakah indeks ini makin baik atau makin buruk? Ini adalah fakta, kita terkenal di mata dunia sebagai negara kleptokrasi, bukan negara integriti, memang memalukan,”katanya

Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dikeluarkan Transparency International (TI) pada Februari lepas mendapati Malaysia mencatat penurunan daripada kedudukan ke-55 kepada kepada 62 daripada 180 negara.

Malaysia memperoleh markah 47 daripada 100 dalam ditetapkan. – Bernama

Nur Farra