Siakap Keli
Gambar : Bernama

Rosmah Dijangka Didakwa Esok

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dipercayai berkaitan kes pembekalan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Perkara itu dinyatakan oleh peguamnya Datuk K Kumaraendran ketika ditemui selepas mengiringi Rosmah memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.

“Saya tidak mahu mengambil apa-apa soalan, cuma boleh sahkan anak guam saya akan didakwa di mahkamah Jalan Duta esok,” katanya.

Rosmah dijangka didakwa pada 3 petang esok. Rosmah yang tiba di ibu pejabat SPRM pada 11.40 pagi  dilihat meninggalkan kawasan itu kira-kira 2.35 petang selepas selesai memberi keterangan dipercayai berkaitan kes pembekalan tenaga solar tersebut.

Menurut sumber SPRM, notis memerintahkan Rosmah hadir telah diserahkan semalam.

Pada awal Jun lalu, sebuah portal berita melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.