Siakap Keli

Stesen MRT Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh Ditutup Sementara

Stesen Transit Aliran Massa  (MRT) Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh akan ditutup pada Sabtu dan Ahad ini bagi kerja-kerja penyenggaraan landasan.

Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Rapid Rail Sdn Bhd, Azmi Mohd Zain berkata penutupan itu adalah bagi kerja-kerja pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) menjadi sebahagian Laluan SSP.

“Ia akan bermula di bahagian landasan antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Sungai Buloh yang melibatkan penutupan ketiga-tiga stesen itu.

“Semasa penutupan stesen-stesen tersebut, tren-tren Laluan SBK akan tamat di Stesen Kwasa Sentral dan kembali ke Kajang,” katanya ketika taklimat bersama media di sini, hari ini.

Azmi berkata perkhidmatan bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen Kwasa Sentral dan Stesen Sungai Buloh sepanjang tempoh itu dengan kekerapan tujuh hingga 15 minit.

“Perkhidmatan bas perantara biasa dari Stesen Kwasa Sentral, Kampung Selamat dan Sungai Buloh akan terus beroperasi seperti biasa semasa penutupan stesen,” katanya.

Katanya kedua-dua pihak Rapid Rail Sdn Bhd dan MRT Corp telah membuat pengumuman penutupan stesen itu di semua stesen MRT, LRT dan monorel di samping papan tanda arah dan maklumat dipaparkan di lokasi strategik stesen-stesen terlibat.

“Kami turut mengerahkan seramai 28 staf di ketiga-tiga stesen MRT yang ditutup itu pada hari berkenaan untuk membantu para penumpang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kerja Sistem Mekanikal dan Elektrikal Laluan SSP MRT Corp, Abdul Hamid Abdillah berkata kerja-kerja penyenggaraan landasan tersebut melibatkan pemasangan dua sesimpang landasan di laluan SBK yang sedia ada.

“Kedua-dua sesimpang landasan ini akan menyambungkan landasan utama dengan landasan baharu yang akan dipasang di platform-platform laluan SSP di Stesen Kwasa Damansara yang terletak bertentangan dengan platform laluan SBK,” katanya.

Menurutnya pada masa depan, Stesen Kwasa Damansara akan menjadi stesen pertukaran terakhir bagi kedua-dua laluan yang membolehkan penumpang bertukar laluan dengan hanya berjalan dari satu sisi platform ke sisi lain.

Katanya kerja-kerja penyenggaraan landasan akan bermula oada 12 tengah malam 17 Nov dan dijangka berakhir pada  4 petang 18 Nov.

“Kami mempunyai jarak masa ‘buffer’ antara  4 petang hingga 12 tengah malam pada 18 Nov untuk menguji fungsi landasan dan tren bergerak sebelum dibuka kepada orang ramai pada 6 pagi keesokan harinya (19 Nov),” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja yang akan dijalankan pada dua hari penutupan itu merupakan sebahagian kerja-kerja pemindahan yang akan dijalankan dari sekarang sehingga pembukaan fasa pertama laluan SSP pada 2021.

“Kerja-kerja ini mungkin akan memerlukan penutupan lanjut tiga stesen tersebut pada masa depan,” katanya, menambah pembinaan MRT Laluan SSP kini telah lebih 37 peratus siap.  -BERNAMA

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di