Siakap Keli
Gambar : Bernama

Dua Tuduhan Terima Rasuah RM3 Juta, Tengku Adnan Mengaku Tidak Bersalah

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3 juta, berhubung pembelian tanah bagi pembinaan rumah mampu milik pada tahun 2013 dan 2016.

Tengku Adnan yang memakai kemeja batik  lengan pendek berwarna ungu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Tengku Adnan, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya, 68, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun ‪14200008384058‬ miliknya.

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi dirinya kerana telah melakukan suatu perkara yang sebenar, iaitu meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan, yang juga Bendahari Umno, juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan di tempat dan tarikh yang sama iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank no. akaun ‪14200008384058‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tengku Adnan didakwa telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd no akaun ‪8001179747‬ yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan, yang mana diketahui bahawa syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun, 2016, mengikut seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.