Siakap Keli

IKHLAS, Lancar Tabung Bantu Peminjam PTPTN

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) bakal melancarkan satu tabung yang bertujuan membantu meringankan beban hutang  pelajar yang terbabit dengan Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata tabung  yang bakal dilancar pada Januari  tahun depan merupakan inisiatif pihaknya dengan kerjasama syarikat perniagaan bagi membantu peminjam yang layak serta tidak mampu membayar hutang pinjaman itu.

“Kos sara hidup, peluang  pekerjaan yang terhad, ramai pelajar dari keluarga miskin antara faktor kami untuk melancarkan tabung ini.

“Syarikat peniagaan ini akan membantu apabila jualan syarikat mereka mencapai keuntungan besar, contoh jika  keuntungan RM1 juta, 20 peratus daripada itu akan disumbangkan ke tabung ini untuk membantu peminjam, ” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada sesi pembentangan belanjawan negara,  Menteri Kewangan Lim Guan Eng dipetik sebagai berkata  pelepasan cukai akan diberikan kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman PTPTN pekerja bagi tahun berakhir 2019.

Mohd Ridzuan berkata ketika ini pihaknya telah mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat produk kecantikan antarabangsa bagi  membantu mengatasi masalah PTPTN.

“Kami akan kenal pasti pelajar yang sangat memerlukan sebelum bantuan itu dilakukan dan bantuan bergantung kepada kewangan tabung kami, contohnya jika pelajar itu pinjam RM25,000 mungkin kami bantu mereka RM5,000 atau lebih daripada itu.

“IKHLAS juga memberi peluang kepada mana-mana syarikat yang mahu bekerjasama untuk membantu pelajar dan kerajaan mengatasi masalah ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan 1,000 pelajar yang akan terlibat dengan pemberian inisiatif tersebut di seluruh negara pada tahun depan.

“Selain tabung itu, kami juga membantu dan melatih pelajar untuk menjadi usahawan sekali gus mempunyai pendapatan dan menyelesaikan hutang mereka,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.