Siakap Keli

Sebak, Lepas Tunai Umrah, Kanak-Kanak Meninggal Dunia Di Pangkuan Ibu Dalam Pesawat

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dalam penerbangan pulang selepas mengikut ahli keluarganya menunaikan umrah di Makkah.

Kanak-kanak berkenaan, Yahya Puthiyapurayil diserang epilepsi, 45 minit selepas berlepas dari Jeddah menaiki penerbangan Oman Air menuju Kozhikode di Kerala, kata bapa saudaranya kepada Khaleej Times.

Wakil syarikat penerbangan mengesahkan, selepas kejadian tragis itu, pesawat membuat pendaratan kecemasan di Abu Dhabi pada petang Isnin.

“Dia demam sedikit ketika menaiki penerbangan dari Jeddah dan diserang sawan ketika di udara.

“Dia meninggal dunia di pangkuan ibunya, keluarganya sangat sedih,” kata bapa saudara budak lelaki itu, Mohammed Nadeer yang tinggal di Abu Dhabi.

Difahamkan, Yahya adalah anak lelaki kepada pasangan Muhammad Ali dan Jubairiah, yang juga menaiki pesawat bersamanya. Pasangan ini mempunyai tiga anak dan Yahya merupakan anak bongsu.

Menurut Mohammed Nadeer, Yahya adalah seorang kanak-kanak istimewa yang tidak boleh berjalan atau bercakap.

“Dia berkerusi roda dan telah menjalani rawatan sejak lahir,” katanya.

Dia menyertai rombongan keluarga yang terdiri daripada 13 orang termasuk ibu bapanya, bapa saudara beserta sepupu menunaikan umrah.

Pegawai kedutaan India berkata, jenazah budak lelaki itu dihantar pulang awal pagi Selasa dengan penerbangan Etihad.

Jenazahnya tiba di Kannur dan pengebumian dilakukan pada sebelah petang, menurut saudara-maranya.

“Kami dimaklumkan mengenai insiden tragis itu pada petang Isnin. Kami bercakap dengan pegawai imigresen di Abu Dhabi bagi memudahkan urusan visa untuk bapanya. Kira-kira jam 10.30 malam urusan formaliti selesai.

“Kami membuka kedutaan di malam hari untuk urusan pembatalan pasport budak lelaki itu, pendaftaran kematian dan mengeluarkan surat tanpa bantahan untuk membawa jenazah ke India,” kata Konsular di kedutaan M.Raja Murugan kepada Khaleej Times.

Sumber : Khaleej Times

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.