Siakap Keli

(Video)Hebat, China Jadi Negara Pertama Miliki Hotel Bawah Tanah Di Dunia

Oktober lalu, China secara rasminya menjadi negara pertama di dunia yang berjaya membuka sebuah hotel mewah bawah tanah yang begitu mengagumkan.

Sesiapa sahaja yang berkata China sebagai negara tidak kreatif dan suka meniru produk negara lain, tanggapan anda bakal berubah selepas anda menyaksikan Intercontinental Shanghai Wonderland ini.

Berbanding dibina di atas tanah dan mahu bersaing menjadi bangunan paling tinggi di dunia, pemaju hotel ini nyata mempunyai idea yang lebih ‘gempak’ iaitu membina sebuah hotel jauh ke dalam perut bumi dan memanfaatkan sepenuhnya sebuah kuari terbiar di Songjiang, Shanghai.

Dibina pada kedalaman 300 kaki (91 meter), Hotel Shanghai Wonderland ini mempunyai ketinggian 18 tingkat dengan 16 daripadanya berada di dalam tanah. Pada bahagian mengadap kuari terbiar, kawasan seakan-akan kolam itu diisi dengan air yang menenggelamkan dua tingkat paling bawah, sekaligus mewujudkan panorama seolah-olah anda berada di dalam sebuah akuarium.

Setiap bilik hotel, 337 semuanya menawarkan kepada tetamu satu panorama indah melalui cermin terbuka, terima kasih kepada rekaan sisi dinding yang melengkung. Walaupun pemandangan sedikit terhad kerana anda anda seperti berada di dalam sebuah lubang, tetapi dengan keindahan kuari, para tetamu pasti mendapat suasana seperti tinggal di dalam Hotel Shangri La.

Lebih menarik, pemaju hotel ini memanfaatkan sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber kuasa untuk membolehkan hotel ini beroperasi. Generator geotermal membekalkan tenaga elektrik, manakala panel solar dipasang sebagai sokongan. Shanghai khususnya, adalah sebuah bandar yang amat mementingkan tenaga bersih dan hotel ini menjadi buktinya.

Bertentangan dengan bangunan utama adalah sebuah air terjun buatan gergasi yang menyirami dua buah tingkat di bawahnya iaitu sebuah restoran dan gym. Jika anda berada di kawasan ini, pasti anda terasa seolah-olah berada di dalam sebuah akuarium.

Hotel ini juga mempunyai sistem capaian yang efisyen apabila terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Hongqiao selain terletak hampir dengan dua taman kebangsaan, Sheshan National Park dan Chenshan Botanical Gardens.

Semua staf di hotel ini mampu berbahasa Inggeris dan Mandarin dengan baik. Satu lagi, haiwan peliharaan tidak dibenarkan masuk ke sini.

Menurut Intercontinental, mereka memerlukan masa selama 10 tahun melibatkan lebih 5000 arkitek, jurutera, pereka dan buruh bagi menyiapkan hotel tersebut.

Jika anda berminat untuk berbulan madu di sini, simpan duit daripada sekarang kerana Shanghai Wonderland ini dianggap sebagai sebuah hotel mewah lima bintang. Jadi harganya, sudah tentu bukan murah.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=DkTDjx2jLj8]

 

Sumber : The Travel.com

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.