Siakap Keli

Kemenangan Tok Mat Di Dun Rantau Tidak Sah

Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Azimah dalam penghakimannya berkata tidak wujud sebarang undang-undang pilihan raya yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

“Ini diakui peguam responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulisnya.

“Dengan itu, mahkamah membenarkan pempetisyen memfailkan petisyen seperti berikut, Mohamad tidak dipilih sebagai ADUN Rantau dan pemilihannya tidak sah atau batal.

“Mahkamah memerintahkan satu pilihan raya kecil untuk kawasan DUN Rantau diadakan serta-merta,” katanya.

Dalam penghakiman setebal 77 muka surat, Azimah berkata sekiranya pempetisyen dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau untuk menyerahkan kertas pencalonannya dan melalui proses undang-undang, kelayakan bertanding dipertimbangkan dan sekiranya pempetisyen tidak mempunyai kelayakan atas sebarang alasan, adalah menjadi kewajipan pegawai pengurus pilihan raya untuk menolaknya.

“Tetapi ini tidak berlaku…andaikan pula kertas penamaan calon pempetisyen diterima dan pempetisyen menjadi calon dan menang dalam pilihan raya dan terpilih sebagai ADUN Rantau, maka mana-mana pihak yang ditetapkan di bawah Seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bolehlah menfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan itu atas ketiadaan kelayakan,” katanya.

Beliau berkata isu kelayakan Dr Streram yang dibangkitkan Mohamad selaku responden pertama adalah tidak relevan di dalam petisyen berkenaan untuk menafikan cabaran yang dibangkitkan pakar bius itu dengan fakta yang tidak dipertikaikan dan keterangan mantap berhubung halangan kemasukan pempetisyen dalam Dewan Seri Rembau.

“Keterangan di mahkamah juga mendapati pempetisyen sebenarnya bukan sahaja tidak dapat memasuki Dewan Seri Rembau bahkan telah dihalang dengan begitu ketatnya dalam kawasan larangan 50 meter daripada memasuki Dewan Seri Rembau untuk mengemukakan borang pencalonannya,” katanya.

Azimah berkata tindakan menghalang pempetisyen memasuki pusat penamaan calon adalah tindakan di luar undang-undang dan tidak munasabah.

“Perlakuan ini jelas bertentangan dengan undang-undang pilihan raya yakni mengadakan sesuatu kehendak atau keperluan walhal tiada mana-mana undang-undang atau peraturan bertulis berhubung perjalanan pilihan raya menghendaki yang sedemikian rupa,” katanya.

Beliau berkata halangan pempetisyen memasuki Dewan Seri Rembau untuk menyerahkan borang penamaan merupakan satu penafian hak terhadap seorang yang berkelayakan menjadi calon bertanding pada PRU14.

“Hak menjadi calon dan hak mengundi juga adalah hak perlembagaan. Ia juga melibatkan hak setiap pengundi DUN Rantau diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat mereka. Apabila pempetisyen telah dihalang daripada menyerahkan borangnya, pengundi-pengundi telah dinafikan hak mereka untuk memilih atau mengundi calon mereka. Keadaan ini bercanggah dengan amalan demokrasi.

“Apabila responden pertama diisytiharkan menang tanpa bertanding dan dilapor dipilih walhal seorang lagi calon yang berhasrat bertanding atas ketidakpatuhan undang-undang bertulis sudah semestinya ketidakpatuhan peruntukan undang-undang menyebabkan pilihan raya bagi DUN Rantau tiada pertandingan.

“Sekiranya pempetisyen dibenarkan masuk dan bertanding, pastinya responden pertama tidak diisytiharkan menang tanpa bertanding kerana terdapatnya pertandingan seorang lagi calon yang boleh diundi dan dipilih oleh pengundi-pengundi,” katanya.

Azimah juga berkata kenyataan yang diberikan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Daing Muhamad Rahimi ketika prosiding berlangsung sebelum ini adalah sangsi dan meragukan.

“Mahkamah ini berpandangan bahawa, sepanjang memberi keterangan sebagai saksi Encik Daing sebahagian besar telah berbohong. Mahkamah berkata demikian kerana beliau memberi keterangan yang tidak munasabah dan tidak dapat diterima akal malahan mahkamah ini telah beberapa kali memberi amaran dan teguran kepada Encik Daing supaya bercakap benar.

“Responden kedua juga sebagai saksi, kebenaran keterangannya adalah disangsi dan diragukan. Mahkamah ini juga berpendapat sepanjang memberi keterangan responden kedua tidak bercakap benar dan sebahagian besarnya beliau telah berbohong untuk melindungi dirinya,” katanya.

Azimah berkata mahkamah juga mendapati responden kedua dan responden ketiga cuai dalam menjalankan tugas rasmi.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan  Mohamad yang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai responden pertama; Amino Agus pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Dr Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan.

Mohamad diwakili lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala Dr Streram diwakili empat peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla. -BERNAMA

Nur Farra