Siakap Keli
DCIM105MEDIADJI_0028.JPG

Dari Budak Kampung, Menjadi Graduan Bertaraf Global

Seronok tengok rakan-rakan di Universiti lain dah pakat konvo. Up gambar macam-macam style dekat media sosial. Aku pula dok menghitung hari jer, haishhh tak sabar pulak menanti konvokesyen Universiti Teknologi PETRONAS ni.

Semalam call mak dan berbual, mak bagi tahu adik aku yang bongsu juga dah tak sabar nak pergi konvokesyen aku. Asyik dok tanya je sebab ada banyak aktiviti-aktiviti menarik masa pesta konvokesyen UTP nanti.

Aku ingat lagi macam mana terujanya adik dan mak aku bila aku kongsi aktiviti-aktiviti yang ada masa Konvokesyen UTP macam Go Green ConvoRun, VC Cup, Convo Ride, Conve Fest dan Convo Dinner. Mana tak terujanya, aku anak sulung dan ini kali pertama keluarga aku jejakkan kaki di majlis konvokesyen. Sebab itulah aku sangat emosi nak raikan kejayaan aku menamatkan pengajian dengan insan-insan paling penting dalam hidup aku.

Universiti Teknologi Petronas

Tapi kali ini, aku nak kongsi kisah macam mana anak kampung macam aku ni boleh ada semangat dan impian untuk jejakkan kaki di sebuah universiti yang berprestij, macam UTP ini. Yelah, korang pun sedia maklum, UTP ni sebuah universiti yang menjadi destinasi untuk pelajar-pelajar terbaik yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi, dan aku mengaku aku budak kampung yang dahulunya agak lemah dalam bidang ni.

Sebenarnya, semua bermula daripada lawatan ke UTP yang sekolah aku anjurkan. Masa tu memang excited, budak kampung dapat keluar ke bandar dan lawat ke sebuah universiti kebanggaan negara. Kali pertama jejakkan kaki waktu itu dekat UTP, aku rasa kagum sangat-sangat dengan seni bina universiti ini yang pada aku memang world class.

Aku kongsi beberapa gambar untuk korang tengok sendiri kemegahan yang ada pada UTP yang aku banggakan sangat-sangat ini. Sejak daripada itu aku menanam tekad untuk menyambung pengajian di sini. Aku terus tanam azam dalam diri bahawa aku akan berusaha sehabis baik agak aku diterima masuk ke sini.

Kredit : UTP
Information Resource Centre

Berbekalkan kemudahan internet yang ada di sekolah, aku pun mula mencari serba sedikit maklumat mengenai UTP. Aku nak tahu jurusan apakah yang ditawarkan di sini, masa depan yang macam mana yang tersedia untuk aku andai aku berjaya menamatkan pengajian di sini, aku nak tahu environment UTP macam mana dan yang paling aku nak tahu berdasarkan anggapan yang aku buat, universiti yang hebat mesti mempunyai alumni yang hebat. Korang tahu apa yang aku jumpa? Masa depan. Ya, masa depan. Kerana saat itu, aku dah bulatkan tekad untuk sambung belajar di sini.

Paling penting, aku mula minat subjek sains pun sebab nak masuk UTP la. Seingat aku, hasil pencarian aku mengenai UTP, baru aku tahu bahawa inilah tempat paling sesuai jika korang berminat dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi. Uniknya UTP ini, ia adalah sebuah universiti swasta yang paling unggul dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Graduannya sangat laku di pasaran dan kebanyakan mereka bekerja di syarikat-syarikat ternama seperti PETRONAS, Shell, Schlumberger, Intel, Sime Darby, Gamuda dan banyak lagi.

Dari situ juga kemudian aku tahu bahawa UTP turut menawarkan program ASASI untuk pelajar-pelajar cemerlang terutamanya dalam subjek Sains selepas SPM untuk menyambung pelajaran. Yang menarik program ASASi ni, sejurus masuk di UTP pelajar terus dapat merasai suasana belajar di universiti. Tak macam belajar di pusat matrikulasi atau Tingkatan 6.

Lab

So, adik-adik kat luar sana yang bakal tamat SPM nanti, jangan lupa mohon buat Asasi dekat UTP. Ada tiga jenis program Asasi yang ditawarkan iaitu Program Asasi Kejuruteraan, Program Asasi Sains dan Program Asasi Teknologi. Untuk Asasi Teknologi ni, pelajar-pelajar yang bukan aliran sains tulen seperti aliran sastera juga boleh memohon. Ketiga-tiga program asasi ini adalah penyediaan untuk adik-adik sambung pengajian ke peringkat ijazah nanti tau. Penting untuk adik-adik kat luar sana tanamkan minat dalam bidang sains dari sekarang untuk melanjutkan pelajaran di UTP nanti.

Semua kat atas tu adik-adik sekalian boleh cari dekat laman web UTP, senang aje laman webnya www.utp.edu.my, tapi aku nak kongsi satu benda yang aku rasai sendiri dan hanya aku sendiri boleh ceritakan dekat adik-adik IAITU pengalaman aku sendiri terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuklah pertukaran pelajar ke Norway dan pengalaman menjalani latihan industri selama 7 bulan.

Apabila aku terpilih untuk dihantar ke Norway sebagai sebahagian daripada program pertukaran pelajar, aku jadi teruja sangat-sangat dan dekat maklah individu pertama yang aku sampaikan khabar gembira ini. Mak macam biasalah, tetap sokong semua perkara baik yang aku lakukan demi masa depan aku. Berkat doa mak, aku tak ada masalah di sana sehinggalah aku pulang ke tanah air dan menjalani latihan industri di sini selama 7 bulan.

Dari sinilah aku sedar bahawa di UTP, kau diajar dari A sampai Z, yang tinggal cuma usaha dan azam kau mahukan perubahan dalam diri. Topik-topik di dalam kuliah dan aktiviti-aktiviti luar darjah kalau kau tak culas nak sertai, semuanya bermanfaat.

Lagi satu aku nak kongsi dengan adalah pengalaman-pengalaman luar kelas yang sangat berguna, tambah-tambah dalam dunia yang penuh dengan persaingan ini. Tak tipulah, sekecil-kecil perkara macam penglibatan dalam program persatuan sebenarnya ada nilai tersendiri dalam membentuk jati diri.

Contohnya, dekat UTP setiap tahun akan ada penganjuran Festival TEC iaitu Technology, Education and Career Festival yang seratus peratus dianjur dan dikendalikan sendiri oleh mahasiswa-mahasiswa sendiri. Aku sendiri pun pernah jadi sebahagian daripada jawatankuasa pelajar yang terlibat dalam penganjuran festival ini.

Kalau yang minat seni pula, ada UTP Performing Arts Group (UPAG) untuk tarian, UTP Gamelan dan Virtuoso untuk Band Muzik. Yang berbakat tu, UTP sampai hantar ke pertandingan antarabangsa seperti Cheonan Dance Festival di Korea dan pelajar UTP turut memenangi pelbagai pingat walapun bertanding dengan kumpulan penari profesional. Siapa kata pelajar-pelajar kejuruteraan, sains dan teknologi tidak berbakat seni dan tidak kreatif?

Chancellor Hall

Begitu juga dalam bidang sukan sehingga bertanding ke peringkat antarabangsa seperti pasukan Ragbi UTP atau dikenali sebagai “UTP Drillers”. Banyak, tak habis kalau nak aku senaraikan. Cukuplah sekadar aku menyebut beberapa perkara antaranya aku boleh kembangkan lagi soft skills macam kemahiran usahawan tekno, kepimpinan dan komunikasi. Mahal nilai semua kemahiran-kemahiran ini. Aku cuma sedar bila aku dah masuk alam pekerjaan.

Cumanya, korang kena jadi individu yang aktif, libatkan diri dalam semua aktiviti tidak kisahlah di peringkat kolej, fakulti, universiti ataupun antarabangsa macam di UTP kami ada SEDEX. Jadi dengan program-program sebegini, aku dapat merasai pengalaman secara dunia nyata dan pada masa yang sama sedikit sebanyak aku dapat memanfaatkan apa yang sudah aku pelajari di dalam di dalam dewan kuliah.

Keduanya di UTP, melalui aktiviti luar kelas juga membuka pintu untuk aku melangkah ke dunia pekerjaan sebaik sahaja aku menamatkan pengajian. Graduan-graduan di UTP tidak perlu risau dengan pasaran pekerjaan kerana pihak universiti sendiri sering mengadakan kerjasama rapat dengan pemain-pemain utama industri sendiri contohnya seperti Festival TEC, Industry Talk, tawaran biasiswa daripada syarikat-syarikat luar dan program latihan industri.

Dengan program-program anjuran UTP sebeginilah aku faham apa yang industri di luar sana mahukan daripada graduan-graduan. Aku dan rakan-rakan aku di UTP berpeluang untuk ‘menuntut’ ilmu secara terus daripada ‘bakal-bakal’ majikan di luar sana. Bukan senang tu dan tak semua universiti ada anjurkan program-program macam UTP buat.

Technology

Satu je aku nak cakap, sesiapa yang diterima masuk ke UTP sepatutnya merasa bertuah kerana kebanyakan kursus yang ditawarkan di universiti ini mendapat pengiktirafan di peringkat dunia, contohnya Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan. Disebabkan Malaysia disenaraikan dalam Washington Accord International Accreditation Agreement, maka lepasan-lepasan ijazah ini menerima pengiktirafan daripada Badan-Badan Kejuruteraan termasuklah daripada negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Jepun.

Berbalik ke kisah aku kembali. Sebenarnya ada DUA PERKARA yang membuatkan aku betul-betul teringin nak sambung belajar ke UTP. Yang pertama dalah PERSEKITARAN DAN BUDAYA, yang kedua pula aku cukup kagum dengan beberapa orang alumni daripada UTP yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Sebagai budak kampung, bila aku dapat tahu yang UTP menerima pelajar daripada pelbagai negara, sekitar 60 buah negara, aku jadi kagum sangat-sangat. Tak keterlaluan kalau nak cakap, pendedahan yang aku dapat disini adalah pendedahan bertaraf antarabangsa. Aku kenal pelbagai budaya, baik dari segi interaksi harian mahupun cara bekerja. Priceless!

Multi-races

Aku rasa UTP ni macam sebuah negara yang ada pelbagai kaum. Kau bukan setakat kenal Melayu, Cina dan India, bangsa-bangsa lain daripada Eropah, Amerika, Timur Tengah, Afrika dan Asia pun kau boleh kenal. Yelah, bukan semua mampu nak travel, macam aku dengan ke UTP jelah peluang untuk aku kenal dengan bangsa-bangsa yang berbeza.

So, itulah serba sedikit cerita bagaimana aku tergerak hati untuk ke UTP. Aku menulis dan berkongsi ini bukan sebab bongkak, tetapi atas rasa tanggungjawab untuk menjadi contoh dan pemberi semangat kepada adik-adik aku sendiri. Korang pun tentu ada pengalaman dan kisah tersendiri kan sebelum menyambung pelajaran di universiti yang korang idam-idamkan kan. Tulis lah, mana tahu jadi inspirasi dekat orang lain.

“Mak bangga dan redha dengan kamu’’

Tak sabar aku nak bawa mak, ayah dan adik-adik aku ke Pesta Konvo UTP pada 18 November ni. Korang kalau ada kelapangan dan tinggal berdekatan dengan UTP, oh ya UTP ni terletak di Seri Iskandar, Perak, bolehlah korang datang jenguk, tengok keindahan UTP. Bawa adik-adik sekali, biar terbuka minda dan terpasang hajat mereka untuk ke menara gading.

Tak sabar nak genggam skroll di Dewan Canselor UTP 18 November ini. Semoga hari indah aku itu menjadi pembuka kepada jalan hidup yang lebih gemilang untuk aku di masa depan. Terima kasih mak, ayah dan keluarga. Besar jasa kalian, janji aku untuk aku balas satu persatu.

Dan tak lupa, terima kasih UTP kerana berjaya mengubah mentaliti budak kampung untuk menjadi jaguh di dalam persaingan menjadi yang terbaik. Bagi aku, dapat segulung ijazah dari UTP bukan sahaja mendapat ijazah biasa, tapi satu anugerah yang istimewa dalam melengkapkan aku menghadapi cabaran sebenar di luar sana.

Selain dari impian kerjaya, aku juga bertekad untuk berbakti kepada masyarat di dalam dan luar negara. Tak lupa juga, kembali ke UTP untuk menyumbang kembali kepada warga UTP dalam pelbagai bentuk. UTP adalah “Alma Mater” ku.

Dengan ikhlas saya ucapkan Selamat Maju Jaya untuk adik-adik di luar sana yang impikan mahu menyambung pelajaran ke UTP.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.