Siakap Keli
Gambar : KOMPAS.com/AMRAN AMIR

Masyarakat Palu Diuji Lagi, Kini Banjir Lumpur Pula Melanda

Luka akibat bencana gempa bumi dan tsunami pada 28 Sept lepas masih belum sembuh namun masyarakat Palu diuji lagi apabila beberapa kawasan di pinggir bandar itu dilanda banjir lumpur Jumaat lepas.

Antara perkampungan yang terjejas teruk ialah Desa Bangga di Sigi kira-kira 100 kilometer dari kota Palu, di sini.

Gambar : Kiblat.net

Tinjauan sumber mendapati banjir setinggi lebih dua meter itu turut membawa tanah serta pokok tumbang hingga mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

Ketua Kampung Desa Bangga Jalil Mahawali berkata kejadian banjir itu adalah yang terburuk  sepanjang 39 tahun dia menetap di perkampungan tersebut.

“Di Desa Bangga memang pernah berlaku banjir tetapi tidak seteruk ini hinggakan ada beberapa rumah turut dihanyutkan banjir lumpur,” katanya kepada sumber ketika ditemui di perkampungan itu di sini pada Isnin.

Katanya kejadian gempa bumi tempoh hari menyebabkan sebahagian gunung di hulu sungai runtuh dan hujan lebat menyebabkan sisa tanah daripada runtuhan itu turut dibawa air hujan, sekali gus menyebabkan banjir besar tersebut.

Gambar : Bernama

Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilapor mengorbankan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.

Jalil berkata bencana banjir lumpur itu menjejaskan hampir 2,000 mangsa dan menenggelamkan lebih 300 buah rumah, namun kejadian tidak mengorbankan nyawa.

Sementara itu seorang mangsa, Abdurrahman Idrus, 56, berkata dia tidak dapat melupakan kejadian melihat rumah yang dibina berhampiran sungai ditenggelami air hingga mencecah bumbung.

“Kejadian berlaku pada 9 malam, Jumaat… hujan turun dengan lebat dan kurang daripada sejam tiba-tiba air sungai naik dengan cepat. Pada mulanya ingat hanya air biasa tetapi sangkaan saya meleset apabila melihat rumah jiran yang diperbuat daripada kayu hanyut ditelan arus deras,” katanya sambil menunjukkan rumahnya yang dibina lima tahun lepas turut ditenggelami banjir lumpur.

Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk, Jabatan Kemajuan Malaysia Islam (Jakim) bersama-sama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang masih berada di sini, bertindak menghulurkan bantuan segera.

Timbalan Pengarah Jakim Dr Yamin Ismail berkata pihaknya dengan kerjasama Mapim sedang mengumpul data terperinci berhubung kerosakan agar bantuan secara sistematik dapat diagihkan.

Jakim dan Mapim kini dalam misi kemanusiaan menghantar bantuan bernilai RM2.3 juta kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.