Siakap Keli

Kerana Mahu Wang Beli Dadah, Lelaki Tergamak Ugut Bunuh Ibu

Polis menahan seorang lelaki yang bertindak mengacukan pisau dan mengugut mahu membunuh ibunya di Kampung Jeram di Kulim, di sini hari ini, kerana wanita itu enggan memberikan wang untuk dia membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar berkata dalam kejadian pada 7 pagi tadi, suspek berumur 19 tahun ketika itu berada di rumah, meminta wang daripada ibunya yang berumur 47 tahun, namun gagal mendapatkannya.

“Kemudian berlaku pertengkaran antara suspek dan ibunya. Suspek yang tidak berpuas hati mengambil sebilah pisau dan mengugut ingin menikam ibunya selain menggunakan perkataan kasar hingga menyebabkan wanita itu ketakutan dan melarikan diri.

Ibunya yang bimbang dengan keselamatan dirinya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Karangan dan sebaik menerima laporan, polis telah menahan suspek di rumah pada pukul 10.45 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek akan direman esok dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.