Siakap Keli

Lebih 80 Ribu Tandatangan Petisyen Desak Kerajaan Pecat P. Waytha Moorthy

Ketika ini anda sudahpun sedia maklum dengan penularan satu klip video melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berkait kenyataan yang dibuat beliau suatu ketika dahulu.

Kenyataan beliau yang menyebut bahawa terdapat penindasan terhadap kaum-kaum tertentu yang berlaku di Malaysia telah menimbulkan kemarahan ramai pihak kerana didakwa telah memburukkan imej negara dan menimbulkan salah faham masyarakat dunia dengan kenyataan yang dibuatnya ketika disoal oleh wartawan asing.

Susulan itu, Gerakkan Pengundi Sedar (GPS) telah melancarkan satu petisyen atas talian menggunakan platform Change.org untuk mendesak kerajaan melucutkan jawatan yang dipegang oleh Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Negara Dan Kesejahteraan Sosial serta Senator Dewan Negara.

Sehingga kini, petisyen berkenaan yang menyasarkan 150 ribu tanda tangan sudah pun berjaya memperoleh sebanyak 81,038 tandatangan (setakat 10.33 pagi). GPS turut menyenaraikan beberapa alasan dan kenyataan yang dibuat oleh Waytha Moorthy sebelum ini.

Antaranya adalah, beliau telah memburukkan imej negara dengan menyebarkan fitnah kononnya penganut agama Hindu perlu menukar agama kepada Islam sekiranya mahu menjawat jawatan di sektor awam selain mendakwa bahawa rumah-rumah ibadah penganut agama Hindu telah dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Selain itu, GPS melancarkan petisyen berkenaan juga kerana mendakwa Waytha Moorthy berkeras mahu meratifikasikan ICERD, atas kapasitinya sebagai Menteri Perpaduan biarpun ditentang keras oleh majoriti penduduk Bumiputera.

GPS juga mendakwa Waytha Moorthy gagal dalam mengawal ketegangan kaum yang kian memuncak ketika ini biarpun sudah diberi mandat oleh kerajaan untuk berbuat demikian.

Waytha Moorthy yang pernah terlibat secara aktif dalam pergerakkan Hindu Rights Action Force (HINDRAF) atau Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu membuat kenyataan berkenaan atas kapasitinya sebagai ahli pergerakkan tersebut kira-kira 10 tahun lalu ketika ditemu ramah oleh DutchTV.

Sumber : Change.org

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.