Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lelaki Langgar Lari Pelanggan Restoran Direman Empat Hari

PETALING JAYA, 19 Nov (Bernama) — Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes langgar lari seorang pelanggan restoran di Taman Equine, Seri Kembangan, dekat sini, malam tadi direman empat hari bermula hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairol Azhar Mohd Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Siasatan terhadap pekerja am itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada kira-kira 11.25 pagi dan diiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira 30 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata suspek ditahan kira-kira 1.43 pagi ini selepas majikan kepada suspek menyerahkan lelaki berkenaan kepada polis.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Sarawak itu negatif dadah namun darah suspek akan diambil untuk ujian alkohol,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi, seorang wanita dilaporkan maut dan empat lagi pelanggan sebuah restoran cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di kawasan berkenaan.

Ketika kejadian, wanita berusia 57 tahun itu sedang makan malam bersama anggota keluarganya di hadapan premis tersebut.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.