Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Agama Islam Tidak Diskriminasi, Zalimi Sesiapa – Mujahid

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) — Islam adalah agama rahmat yang tidak mendiskriminasi dan menzalimi sesiapa semata-mata atas dasar perbezaan agama dan budaya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata semangat itu selari dengan surah al-Mumtahanah ayat 8 yang mana: “Allah SWT tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”.

Berucap pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1440H/2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Mujahid berkata Islam amat mementingkan kebijaksanaan dalam melaksanakan sebarang tindakan.

Katanya kebijaksanaan merupakan kekuatan aqliah yang diciptakan oleh Allah SWT untuk mengawal nafsu amarah dan nafsu syahwat yang dipandu oleh syariat untuk melahirkan akhlak yang baik.

“Santun merupakan budi pekerti berakhlak mulia, beradab dan bersopan. Oleh itu, umat Islam seharusnya membentuk jati diri dengan sifat kesantunan untuk mencerminkan keindahan Islam,” katanya.

Dengan cara itu, Mujahid berpendapat masyarakat bukan Islam akan lebih tertarik untuk memahami Islam dengan lebih dekat, malah secara tidak langsung dakwah Islamiyah itu dapat disebarkan dengan mudah.

Dalam pembangunan negara berbilang kaum dan agama, beliau berkata program dan dasar pembangunan negara dibangunkan dengan berpandukan prinsip Maqasid Syariah dan ia akan mengambil kira segala kebaikan dan keadilan merangkumi seluruh alam tanpa terkecuali.

“Semua pihak akan menerima bahagian hak mereka daripada kebaikan Islam ini. Berpandukan ajaran Islam, dan dibantu oleh tadbir urus yang inklusif dan progresif, maka harapan dan cita-cita untuk menyaksikan negara yang sejahtera akan mampu dijayakan,” katanya.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis Sambutan Maulidur Rasul itu yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

Sambutan tahun ini dimeriahkan dengan penglibatan pihak swasta seperti kempen #JomCintaNabi yang dianjurkan oleh Berita Harian (BH) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan disokong rakan strategik daripada agensi kerajaan serta badan korporat.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di