Siakap Keli

(Video) Kenapa Kadang-Kadang Kapal Terbang Ada ‘Keluarkan Asap’ Di Langit

Pernah tak, anda mendongak ke atas dan melihat sebuah kapal terbang, terbang tinggi di langit biru. Kemudian anda merasa pelik melihat jejak yang ditinggalkan di belakang pesawat, seolah-olah kepulan asap yang biasa dilihat daripada kenderaan di darat. Jika ya, percayalah, kami di SK pun suatu ketika dahulu memikirkan idea yang sama, tambah-tambah di zaman kita masih lagi seorang kanak-kanak.

Jadi persoalannya, betul ke apa yang difikirkan itu? Benarkah itu asap daripada enjin kapal terbang? Jika ya, mengapa tidak semua kapal terbang mengeluarkan asap. Lihat sahaja di lapangan terbang, tidak pernah pun kita melihat kepulan asap dilepaskan daripada pesawat-pesawat sama ada yang mahu berlepas ataupun mendarat.

Contrails

Ya, contrails. Apa yang anda lihat seperti asap yang ditinggalkan oleh pesawat yang sedang bergerak itu diistilahkan sebagai contrails (singkatan ”condensation trails”). Contrails dalam bahasa mudahnya adalah awan, lebih tepat lagi awan tiruan.

Seperti kenderaan lain yang berenjin, pesawat gergasi sama ada Airbus mahupun Boeing menggunakan enjin gergasi sekurang-kurangnya dua buah bagi setiap pesawat. Jadi dengan saiz berkenaan, haba yang dilepaskan tentulah pada kadar yang sangat tinggi.

Ketika haba-haba ini terbebas, wap air yang ada kemudian bertembung dengan udara, biasanya untuk pesawat yang terbang pada ketinggian 26 ribu kaki (7924 meter) ke atas. Pada ketinggian ini, suhu diluar badan pesawat boleh jatuh sehingga -40 darjah celcius. Udara sejuk ini kemudian menyebabkan wap air terkondensasi. Maksudnya, wap-wap air ini bertukar menjadi ‘water droplets’ yang sangat kecil ataupun menjadi beku dengan bentuk seperti kristal-kristal ais kecil dan meninggalkan jejak seperti awan.

Bergantung kepada ketinggian pesawat terbang, suhu dan kelembapan udara, contrails yang ditinggalkan mungkin berbeza-beza dari segi ketebalan, jarak dan tempoh kekal.

Selain haba, enjin pesawat terbang turut membebaskan karbon dioksida, wap air, nitrogen oksida, karbon monoksida, hidrokarbon seperti methane dan sulfate, jelaga dan partikel-partikel besi.

Ramalan cuaca

Menariknya, contrails yang ditinggalkan di belakang pesawat ini turut digunakan saintis untuk meramal cuaca. Contrails yang nipis dan pendek menandakan kelembapan rendah udara pada altitude tinggi, bermaksud cuaca yang baik.

Manakala contrails yang tebal serta bertahan untuk tempoh yang lama, menandakan kelembapan udara yang tinggi pada altitude tinggi. Keadaan ini memberikan tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya ribut.

Jenis-jenis contrails

Berdasarkan pencarian kami, terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis contrails iaitu :

1) Short-lived contrails 

Contrails yang ditinggalkan adalah sangat nipis dan bertahan untuh tempoh yang amat singkat. Keadaan ini disebabkan pesawat berkenaan terbang melintasi ruang yang mempunyai wap air yang sedikit. Mana-mana partikel air yang terbentuk dengan segera kembali kepada bentuk wap kembali.

2) Persistent (non-spreading) contrails

Contrails yang terbentuk lebih panjang dan kelihatan untuk tempoh masa yang lebih lama, kadang-kadang sehingga pesawat tidak lagi kelihatan. Ini disebabkan pesawat berkenaan terbang melintasi ruang yang mempunyai wap air pada jumlah yang sangat banyak.

3) Persistent spreading contrails

Proses pembentukkannya sama seperti Persistent (non-spreading) contrails. Namun yang membezakannya adalah Persistent spreading contrails bukan dalam bentuk garis lurus, sebaliknya tersebar ataupun dalam keadaan berselerak. Keadaan ini berpunca daripada keadaan turbulence yang wujud pada ruang berkenaan.

Tidak berbahaya

Contrails bukanlah asap, sebaliknya adalah wap air dan disebabkan itulah contrails tidak memberi sebarang mudarat kepada manusia. Malah, minyak digunakan oleh pesawat adalah minyak yang ditapis pada kualiti yang sangat tinggi bagi mengelakkan sebarang pencemaran berlaku dan memberi kesan kepada prestasi pesawat.

Di dalam enjin pesawat, jumlah gas yang besar mesti bergerak dengan pantas melalui chamber pembakaran untuk memastikan enjin turbin sentiasa berputar. Minyak-minyak pesawat ini dialirkan melalui enjin melalui saluran-saluran kecil dalam jumlah berliter-liter per saat. Jadi, sebarang ketidaksempurnaan seperti pencemaran dalam minyak boleh menyebabkan enjin bermasalah dan membunuh semua penumpang. Tiada pencemaran yang berlaku.

Potensi untuk ketenteraan

Percaya atau tidak, pasukan penyelidik Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat pernah membentangkan laporan kepada USAF untuk menggunakan contrails sebagai satu senjata. Berdasarkan kajian mereka ke atas contrails yang wujud, pasukan ini membuat kesimpulan bahawa cuaca boleh dikawal dan dimanipulasi.

Pasukan ini mendedahkan bahawa cuaca yang dimanipulasi boleh digunakan untuk dua tujuan ketenteraan. Pertama sebagai tambahan kekuatan keatas ketumbukkan tentera sendiri dan kedua untuk melemahkan motivasi musuh.

Rancangan yang ditawarkan kepada USAF termasuklah manipulasi ke atas proses pembentukkan taufan dan banjir bagi melemahkan sistem telekomunikasi musuh selain mencetuskan panik di kawasan kedudukan lawan. Manakala angkatan bersenjata sahabat pula boleh disembunyikan sebalik kabus tiruan dan ‘memperbaiki’ atmosfera atas bagi membolehkan satelit perhubungan berfungsi dengan lebih baik.

Bagaimanapun, idea ini tidaklah secara sepenuhnya berjaya, namun tidak dinafikan banyak kajian dilakukan oleh saintis-saintis tentera diseluruh dunia untuk memastikan mereka berjaya menguasai cuaca.

Biarpun idea manusia mengawal cuaca masih lagi satu idea khayalan, namun manusia sebenarnya pernah berjaya meniru proses dan menghasilkan hujan. Pada 13 November 1946, Vincent Joseph Schaefer menjadi manusia pertama yang berjaya berbuat demikian. Ketika itu, beliau menerbangkan sebuah pesawat ringan dan menabur beberapa kilogram ais kering di dalam kelompok awan sejuk.

Ketika beliau menerbangkan pesawat di bawah awan tersebut, beliau mendapati salji mula gugur dan sebelum sampai ke bumi, salji-salji ini telah cair dan bertukar menjadi titisan hujan. Satu lagi proses manipulasi cuaca yang mungkin pernah kita dengar adalah proses pembenihan awan. Negara kita pun pernah membuatnya terutama ketika musim kemarau.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=epa6WxEw1Xk]

 

Sumber : Scientific American, Interesting Engineering

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.