Siakap Keli

Banjir : Perkhidmatan ‘Melaka River Cruise’ Dihentikan Sementara

Perkhidmatan bot pelancongan ‘Melaka River Cruise’ (MCR) dihentikan sementara waktu atas sebab keselamatan bermula semalam ekoran banjir yang melanda beberapa kawasan negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata ia berikutan paras air Sungai Melaka yang tinggi selain arus deras dan langkah itu dilakukan demi memastikan keselamatan penumpang.​​​​​​

Beliau berkata, banjir beberapa tempat di daerah Alor Gajah menyebabkan air turun ke kawasan Bandar Melaka dan pihaknya dimaklumkan Empangan Batu Hampar perlu dibuka bagi mengalirkan lebihan takungan air masuk ke pintu baraj di muara sungai.

“Ekoran empangan itu dibuka, paras ketinggian Sungai Melaka meningkat mencecah 1.4 meter menyebabkan bot-bot berkenaan tidak dapat melepasi satu daripada lapan jambatan di sepanjang sungai berkenaan.

“Ketinggian paras air itu melepasi paras normal 1.2 meter dan pihak kita tidak boleh benarkan perjalanan bot itu demi menjamin keselamatan penumpang,” katanya kepada sumber selepas melawat pintu baraj di Sungai Melaka di sini hari ini.

Azlan berkata, sehingga kini perkhidmatan bot itu masih lagi tidak beroperasi sejak 2 petang semalam bagaimana pun jika keadaan semakin baik dan mengizinkan, operasi itu akan dibuka semula pada 8 malam bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air sungai.​​​​​

Sementara itu, Pengarah Jabatan Parit dan Saliran Melaka, Abd Hakim Hamzah berkata, hujan lebat di Tampin, Negeri Sembilan dan Sungai Batang Melaka menyebabkan banjir sehingga terpaksa melalui Sungai Melaka hingga ke muara.​​​​​​​

Katanya, ekoran itu empat pintu baraj air iaitu di Durian Tunggal, Malim, Batu Hampar dan Klebang dibuka bagi memastikan kelancaran aliran air ke muara sungai.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.