Siakap Keli

Emmanuel Nwude Si Scammer, Berjaya Perdaya Bank Untuk Beli Lapangan Terbang Yang Tak Wujud

Anda mungkin pernah mendengar kisah scammer sama ada yang dilaporkan secara luas sama ada di media arus perdana mahupun media sosial. Atau barangkali, anda sendiri hampir terjerat ataupun ahli keluarga sudahpun menjadi mangsa.

Jumlah kerugian yang dialami selalunya bukanlah sedikit. Yelah, scammer ini sudag tentu mensasarkan orang kaya yang mempunyai harta untuk ditipu kan. Jadi jumlah kerugian yang selalu dialami kalau tak cecah ratusan ribu, puluhan ribu itu dah tentu. Memadailah untuk scammer-scammer ini menghabiskan masa untuk ‘menggoreng’ mangsanya hingga terpengaruh dan menyalurkan duit kepada akaun yang tidak sahih.

Tetapi, anda tentu akan merasa pelik dan tak logik sekiranya kami kongsikan dengan anda bahawa pihak bank pun pernah menjadi mangsa scammer sehingga kerugian ratusan juta dolar. Selalunya pihak banklah antara pihak yang berulang kali mengingatkan pengguna supaya tidak terperangkap dalam jerat scammer. Hakikatnya, itulah yang terjadi apabila si scammer berasal daripada Nigeria ini menjadi jutawan segera gara-gara skillnya memerangkap mangsa.

Emmanuel Nwude dalam aktiviti scammernya diantara tahun 1995 sehingga 1998, berjaya meraih ‘pendapatan’ sebanyak USD 242 juta (RM 1.01 bilion) hasil penyamarannya menjadi Gabenor Bank Pusat Nigeria.

Namun begitu, Nwude bukanlah calang-calang scammer. Dia merupakan bekas Pengarah Bank Union di Nigeria. Berbekalkan pengalaman, pengaruh dan maklumat selok-belok perbankkan, Nwude menyamar menjadi Gabenor Bank Pusat Nigeria, yang ketika itu dijawat oleh Paul Ogwuma.

Menyedari penyamarannya menyakinkan, Nwude kemudian menghampiri Pengarah Bank Noroeste di Brazil, Nelson Sakaguchi untuk membentangkan peluang melabur, membina dan memiliki Lapangan Terbang Abuja milik kerajaan Nigeria. Apa yang menariknya, idea untuk membina lapangan terbang tersebut sebenarnya tak wujud pun.

Apa yang Nwude buat adalah memberitahu Sakaguchi bahawa mereka bakal memperolehi komisyen melebihi USD 10 juta (RM 41.49 juta) sekiranya urusan pinjaman itu berjaya. Mungkin tertipu, bank yang diketuai oleh Sakaguchi kemudian menyalurkan wang sebanyak USD 191 juta dalam bentuk tunai kepada Nwude, dengan baki akan dijelaskan melalui pengurangan faedah.

Nwude tidak keseorangan ketika menghampiri Sakaguchi. Sebaliknya pakatan scammer Nwude dianggotai oleh Emmanuel Ofolue, Nzeribe Okoli, Obum Osakwe, Christian Ikechukwu Anajemba dan Amaka Anajemba. Christian Ikechukwu Anajemba  kemudian ditemui mati dibunuh.

Perbuatan mereka mula terbongkar apabila sebuah bank berpangkalan di Sepanyol mahu mengambil alih Bank Noroeste mengadakan mesyuarat bersama antara kepimpinan tertinggi kedua-dua bank pada penghujung tahun 1997.

Ketika itu, pihak bank Sepanyol menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila sejumlah dana atas nama Bank Noroeste di simpan di bank luar persisir pantai di Pulau Cayman tanpa sebarang perlindungan. Antara punca penipuan ini terbongkar apabila dana yang disimpan itu dikatakan dua kali ganda lebih tinggi daripada nilai Bank Noroeste itu sendiri.

Siasatan di beberapa buah negara termasuklah Nigeria, Brazil, United Kingdom dan Switzerland kemudian dilancarkan untuk mengenal pasti simpanan berkenaan yang meragukan. Akhirnya terbongkarlah apabila wang tersebut dikeluarkan sebagai pembayaran kepada penipuan yang dibuat oleh Nwude.

Susulan pengenalan akta baru berkaitan penipuan di Nigeria, Nwude dan pasukannya akhirnya berjaya dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2004. Nwude sendiri didakwa atas 86 kesalahan penipuan dan 15 kesalahan rasuah. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan diberi amaran oleh mahkamah supaya tidak menghampiri mana-mana hakim memandangkan mereka mempunyai wang yang banyak untuk mempengaruhi keputusan mahkamah.

Tindakan Nwude yang ingkar perintah mahkamah apabila cuba merasuah seorang hakim membawa padah apabila perkara berkenaan dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa. Nwude akhirnya mengaku bersalah selepas Sakaguchi sendiri tampil menjadi saksi kes. Dia dijatuhi hukuman penjara dan denda USD 10 juta (RM 41.94 juta).

Sumber : UNILAD 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.