Siakap Keli

KTMB Tawar Diskaun Tambang ETS Sehingga 50% Hingga 31 Disember Ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun tambang murah sebanyak 50 peratus dan 25 peratus untuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bermula 1 Nov hingga 31 Dis ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata bagi promosi diskaun tambang murah, 50 peratus diberikan kepada laluan Kuala Lumpur Sentral-Gemas-KL Sentral dan Sungai Petani-Padang Besar-Sungai Petani bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis.

“Bagi promosi diskaun tambah murah 25 peratus, promosi adalah untuk ke mana-mana destinasi laluan tren ETS yang sedia ada bagi perjalanan pada hari Selasa dan Rabu.

“Pembelian tiket boleh dibuat di kaunter-kaunter KTMB sahaja dan tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rani berkata promosi hebat itu sebagai tanda penghargaan kepada penumpang setia ETS di samping menggalakkan lebih ramai penumpang merasai pengalaman menaiki tren KTMB.

Beliau berkata, pihaknya akan melanjutkan promosi kadar tambang murah itu sehingga ke tarikh tertentu jika sambutan terhadap promosi ini menggalakkan.

“Pada tahun 2019, melalui inisiatif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh pihak kerajaan, perancangan menaiktaraf perkhidmatan ETS dengan konsep lebih menarik akan diperkenalkan dan dilaksanakan,” katanya.

Katanya perkhidmatan yang diperkenalkan pada 12 Ogos 2010 mempunyai 16 perkhidmatan sehari bagi laluan perjalanan antara Kuala Lumpur – Ipoh dengan purata jumlah penumpang adalah seramai 1,500 orang sehari.

“Kini, ETS telah berkembang dengan memberi lebih banyak pilihan laluan perjalanan di antara Sektor Selatan dan Sektor Utara, iaitu 36 perkhidmatan sehari dengan purata jumlah penumpang 12,000 orang sehari,” katanya. – BERNAMA

Nur Farra