Siakap Keli

Tiada Lesen Baharu Judi Diluluskan Di Pahang

KUANTAN, 22 Nov (Bernama) – Kerajaan negeri Pahang tiada cadangan untuk meluluskan lesen hiburan baharu berunsur perjudian sebaliknya menumpukan perhatian kepada premis perjudian yang telah dilesenkan bagi memastikan ia mematuhi syarat yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Abdul Rahim Muda berkata setakat ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) maklum dengan dengan arahan pembekuan lesen judi yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri melalui PBT berkenaan dengan kerjasama PDRM melakukan 616 serbuan di premis yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan daripada jumlah itu, 130 daripadanya dikenakan tindakan.

“Ia melibatkan sebanyak 385 tangkapan dengan RM44,247 rampasan wang tunai, selain 344 mesin slot atau simulator turut dirampas daripada premis yang diserbu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mujibur Rahman Ishak (PAS-Chenor) yang ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan negeri mengkaji semula aktiviti perjudian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, sementara itu pada tahun ini bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 81 serbuan dan 398 tangkapan dibuat selain wang tunai berjumlah RM61,465 dirampas.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.