Siakap Keli

Dermawan China Didakwa Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Menunaikan Haji Tanpa Kebenaran Kerajaan

Pihak berkuasa di wilayah tegang China, Xinjiang didakwa telah mengenakan hukuman mati keatas seorang ahli perniagaan yang dermawan selepas didapati bersalah menunaikan haji tanpa kebenaran, menurut kenyataan adiknya seperti dilaporkan media antarabangsa.

”Terbaru yang saya tahu mengenai abang saya (Abdughapar Abdurusul) adalah dia dijatuhi hukuman mati dan sedang menunggu hukuman tersebut dijalankan. Kesalahannya adalah kerana dia menunaikan haji secara bersendirian dan tidak menggunakan sistem kawalan ketat yang disediakan oleh kerajaan,” kata Abdusattar Abdurusul yang memberitahu abangnya ditahan antara Julai hingga Ogos lalu.

Menurut Abdusattar lagi, abangnya tidak dibenarkan untuk melantik peguam ketika pembicaraan kes berkenaan sekaligus menimbulkan kebimbangan bahawa abangnya dijatuhi hukuman secara tidak sah. Undang-undang China menyatakan bahawa semua hukuman mati perlu dikaji semula di Mahkamah Agong China di Beijing, namun tidak pasti untuk kes Abdughapar.

Abangnya yang berusia 42 tahun itu dimaklumkan menguruskan beberapa buah kedai runcit dan perniagaan lain kerap menyalurkan sumbangan kepada komuniti Islam di Xinjiang antaranya dalam membangunkan masjid.

Abdusattar turut memberitahu abangnya baru sahaja menjual sebuah rumah lama yang dimilikinya pertengahan tahun ini pada nilai RM 604,440 dan memulakan hidup bahagia secara sederhana, namun semua hartanya yang dianggarkan bernilai RM 60.44 juta turut dirampas ketika dia ditahan sebelum ini.

”Dia adalah seorang yang dermawan dan suka membantu komuniti, namun apa yang terjadi (harta dirampas) telah memusnahkan sepenuhnya kehidupan berkeluarganya,” kata Abdusattar lagi.

Anak sulung Abdugahapar, Zewer turut ditahan pada 2017 sebaik sahaja pulang ke China setelah tamat pengajian di Turki manakala isterinya pula ditahan pihak berkuasa pada April lalu. Selain itu, ada rakan-rakan rapat Abdulghapar sebelum ini turut ditahan sehingga tempoh 18 tahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Xinjiang enggan memberi sebarang respon ketika dihubungi oleh media berhubung pendedahan yang dibuat oleh Abdusattar. Namun sumber Radio Free Asia mendedahkan bahawa ada kemungkinan hukuman tersebut dikenakan kepada Abdughapar, malah isterinya turut dilaporkan telah meninggal dunia ketika dalam tahanan pihak berkuasa.

Sumber yang sama turut mendedahkan sekitar 50 orang kenalan terdekat Abdughapar turut ditahan, termasuk beberapa orang pegawai polis, namun berita hukuman mati hanya melibatkan Abdughapar seorang sahaja.

Bagaimanapun sumber dalam berkenaan tidak dapat mengesahkan sama ada hukuman tersebut dikenakan terhadap Abdughapar disebabkan kekayaan yang dimiliknya atau disebabkan tindakannya menunaikan haji tanpa kebenaran. Kata sumber itu lagi, kerajaan China sering kali mengenakan hukuman terhadap etnik Muslim Uighur tanpa sebarang alasan selain atas tujuan pendidikan semula.

Berita hukuman berkenaan turut tular di media sosial termasuk laman rasmi twitter organisasi yang memperjuangkan hak etnik Muslim Uighur, World Uighur Congress.

Sumber : Radio Free Asia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.