Siakap Keli

Tepung Untuk ‘Prank’ Ketika Hari Jadi Disambar Api Lilin Kek, Remaja Cedera Jadi Mangsa Letupan

Parti hari jadi sekumpulan remaja di Universiti Baptist di Hong Kong bertukar menjadi tragedi apabila terpaksa menanggung cedera kesan terbakar akibat satu letupan yang berpunca daripada ‘prank’ baling tepung.

Sekurang-kurangnya empat pelajar masih ditahan di hospital dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu, manakala lapan lagi sudah dibenarkan keluar.

Pasukan penyiasat daripada Jabatan Bomba ketika ini sedang menyiasat punca kemalangan tersebut yang dipercayai berpunca daripada tepung yang disambar api lilin kek hari jadi. Insiden ini juga dikatakan mirip dengan kejadian yang berlaku tiga tahun lepas di Taiwan apabila 15 orang terkorban akibat tindakan seorang individu membaling tepung jagung yang mudah terbakar ketika di dalam parti hari jadi.

12 pelajar malang berkenaan terpaksa menanggung derita luka di bahagian muka, leher, tangan dan kaki. Ketika kejadian, dianggarkan seramai 20 orang tetamu menghadiri parti tersebut.

Kesemua mangsa dikejarkan ke hospital yang berbeza dengan salah seorang daripada 4 mangsa yang ditahan mengalami kecederaan luka terbakar yang agak serius iaitu 19 peratus daripada kawasan badannya.

Sumber daripada pihak polis percaya, kesemua remaja-remaja berkenaan membaling tepung ke arah satu sama lain dan debu tepung tersebut terbakar akibat disambar api daripada api lilin pada kek.

Menurut Dr Fung Ying-sing, seorang tenaga pengajar kimia yang bersara berkata, letupan boleh berlaku apabila sejumlah besar tepun ataupun kanji jagung terdedah kepada api dalam ruang tertutup yang dipenuhi oksigen.

Sumber : SCMP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.