Siakap Keli

(Video) Detik-detik Cemas ‘Bayi Ajaib’ Terselamat Dari Digilis Kereta Api

Seorang bayi perempuan dijulang sebagai bayi ajaib selepas terselamat daripada digilis kereta api biarpun terjatuh di atas landasan kenderaan tersebut, dalam kejadian yang berlaku di India.

Kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, menjadi tular setelah rakaman video di tempat kejadian dikongsikan oleh netizen di media sosial. Ketika itu, penumpang-penumpang hanya mampu menjerit melihat bayi berkenaan ‘digilis’ kereta api.

Bayi malang berkenaan dipercayai terjatuh di celah-celah landasan ketika kedua-dua ibu bapanya mahu melangkah keluar daripada kereta api ketika tiba di stesen berkenaan. Berada dalam keadaan terlentang ketika di atas landasan, roda kereta api yang memecut laju hanya berada pada jarak beberapa inci sahaja daripada tubuh bayi tersebut.

Sebaik sahaja kereta api itu melepasi stesen tersebut, mereka terkejut melihat bayi berkenaan selamat tanpa sebarang luka. Seorang lelaki kemudian turun menyelamatkan bayi berkenaan, seterusnya bayi itu diangkat sebagai bayi ajaib.

Media tempatan melaporkan bahawa bayi itu terlepas daripada pegangan ibunya ketika orang ramai berpusu-pusu mahu keluar dan masuk ke dalam kereta api.

Pihak pengurusan stesen kereta api tersebut berharap insiden berkenaan dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kemalangan yang boleh berlaku di mana-mana stesen kereta api.

”Kami secara aktif menjalankan kempen bagi mengingatkan orang awam mengenai bahaya menaiki kereta api tetapi duduk di atas bumbung ataupun berdiri di tepi pintu,” kata G. K. Bansal, jurucakap stesen kereta api.

Jaringan sistem pengangkutan kerata api mega India terkenal dengan kelemahan keselamatan dan pelbagai kemalangan, termasuklah insiden kemalangan akibat orang awam menceroboh masuk atau melintas laluan kereta api.

Pada tahun 2012, kerajaan India menyifatkan pendedahan bahawa sekurang-kurangnya 15,000 orang mati setiap tahun di India akibat kemalangan kereta api sebagai satu ‘pembunuhan besar-besaran’.

Lebih daripada USD 137 bilion diperuntukkan oleh kerajaan India dalam tempoh lima tahun untuk memodenkan sistem kereta api mereka.

 

Sumber : The Citizen

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di