Siakap Keli

Daging dan Tulang Babi Dijumpai Dilempar Di Dalam Dua Buah Surau Di Melaka

Tindakan biadap dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab apabila objek dipercayai daging dan tulang babi berserta nota dilempar di dua perkarangan surau di Serkam, Melaka awal pagi tadi.

Menerusi satu posting yang tular, cebisan daging beserta nota bertulis itu ditemui di dalam Surau Taman Serkam Jaya dan Surau Serkam Estet.

Seorang penduduk juga turut meluahkan rasa kesal dengan pihak yang sengaja menimbulkan isu yang keterlaluan ini.  Jelas beliau, tindakan segera harus diambil oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Sementara itu, menerusi satu portal media tempatan, dalam kejadian lebih kurang 5.00 pagi, insiden pertama itu disedari oleh jemaah Surau Bukit Serkam yang datang ke surau tersebut sebelum solat subuh.

Memetik seorang jemaah surau sebagai berkata, ketika dia tiba di pintu pagar surau Bukit Serkam, dia melihat ketulan daging itu beserta dua kad manila yang bergulung sebelum memaklumkan kepada pihak surau.

Menurutnya, dia segera menghubungi Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim). Pihak polis sampai ke tempat kejadian pada jam 7 pagi sebelum pihak surau melakukan proses mencuci dan menyamak.

Namun, pada pukul 8 pagi dilaporkan terdapat lagi sebuah surau di Ladang Serkam, iaitu Surau An Nur yang dikejutkan dengan penemuan daging seumpana itu oleh seorang pekerja pembersihan wanita di situ.

Pihak berkuasa dilaporkan telah mengambil tindakan dengan mengarahkan anggota untuk melakukan rondaan terutama di kawasan-kawasan rumah ibadat termasuk surau dan masjid untuk mencegah perkara itu berlaku dan kes disiasat dibawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.