Siakap Keli

Insiden Kekecohan Kuil Sri Maha Mariamman, Menteri Minta Rakyat Bertenang

Susulan insiden kekecohan melibatkan sekumpulan individu yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy telah mengeluarkan satu kenyataan melalui laman Facebook rasmi miliknya hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau meminta semua pihak untuk bertenang dan memberitahu bahawa kerajaan tidak bertolak ansur di atas apa yang telah terjadi.

SIARAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI YB P. WAYTHA MOORTHY

Waytha Moorthy kecam tindakan liar di perkarangan kuil

NOV 27: Saya ingin mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan lelaki yang bertindak liar di persekitaran kuil Sri Maha Mariamman di Seafield malam tadi.

Serangan oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenalpasti keatas One-City Mall malam tadi, adalah tidak wajar dan boleh dikatakan sebagai tindakan provokatif bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia umumnya.

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku ini dan saya menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan segera dalam membendung keganasan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan yang berselindung disebalik niat untuk menjaga nama kuil itu.

Isu kuil tersebut adalah diantara pemaju tanah, di mana kuil itu terletak, dan pengurusan kuil dan ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk menjadi konflik perkauman.

Saya meminta masyarakat India Malaysia bertenang dan bersikap rasional dalam menghadapi isu kuil Sri Maha Mariamman di Seafield kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menghasut suatu pergolakan sosial.

Saya juga menggesa jawatankuasa pengurusan kuil untuk mengawal dan memastikan keselamatan penganut kerana ia adalah tanggungjawab mereka untuk melindungi para penganut yang datang ke kuil tersebut.

Ini berikutan tindakan satu kumpulan yang berkumpul di kuil itu lewat malam tadi telah memutuskan untuk berarak ke One-City Mall dan memecahkan tingkap di bangunan itu, yang dikatakan dimiliki oleh pemaju tanah di mana kuil itu terletak.

Seperkara lagi yang telah dibawa ke perhatian saya ialah bahawa seorang ahli Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat cedera dalam pergelutan dengan sebuah kumpulan di luar kuil itu malam tadi.

Ahli Bomba itu, yang kini dimasukkan ke hospital, telah ditarik keluar dari kenderaannya dan dipukul oleh sekumpulan lelaki apabila anggota bomba itu cuba memadamkan api pada sebuah kereta yang diletakkan di luar kawasan kuil malam tadi.

Serangan ke atas ahli bomba itu adalah keji kerana mereka hanya melakukan tugas mereka bagi memastikan keselamatan penganut di sekitar kuil itu.

Sekali lagi, saya menyeru komuniti India di Malaysia untuk bertenang dan tidak bertindak melulu dalam menangani isu ini.

Kerajaan memandang serius kejadian ini dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan awam.

Terima kasih

Nur Farra