Siakap Keli
BERNAMA

”Kalau Ada Dalang, Mereka Tidak Akan Terlepas” – Tun Dr. Mahathir Mohamad

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa beliau mengikuti secara dekat insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Mariamman di Subang Jaya sejak dua hari lepas selain telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai perkembangan semasa siasatan insiden tersebut.

”Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

”Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun ianya berkaitan perpindahan kuil. Kerana ianya berkaitan jenayah pihak polis telah diarah untuk mengambil tindakan lanjut bagi menangani serta mengawal situasi ini dengan segera,” kata kenyataan beliau.

Beliau turut menyatakan rasa kesal di pihak kerajaan terhadap tindakkan tidak bertanggungjawab sekumpulan penjenayah yang telah menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.

Katanyanya, penjenayah-penjenayah berkenaan tidak akan terlepas dan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.

”Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya. Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media,” kata kenyataan beliau lagi.

Justeru, beliau sekali lagi ingin menegaskan bahawa apa yang berlaku adalah insiden jenayah dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur-unsur lain sama sekali.

Sumber : Tun Dr. Mahathir Mohamad

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.