Siakap Keli

Kuil : Pemaju Keluarkan Kenyataan Nafi Terlibat Dalam Kekecohan

Susulan insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya pagi tadi, One City Developtment Sdn Bhd mengedarkan satu kenyataan media menafikan penglibatan syarikat pemaju berkenaan seperti yang didakwa beberapa pihak.

One City dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai berniat jahat turut mengutuk sekeras-kerasnya insiden kekecohan tersebut.

”One City sentiasa mematuhi undang-undang dalam mengendalikan masalah melibatkan kuil tersebut yang masih berada di atas tanah berkenaan. Ini menjadi asas dalam setiap tindakan yang diambil oleh pihak kami dalam memastikan kami dapat mengambil alih kembali hak ke atas tanah tersebut.

”Sebarang tuduhan yang bertentangan dengan keterangan di atas adalah tidak benar dan One City mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang bertanggungjawab membuat tuduhan sedemikian rupa,” kata kenyataan itu.

”One City tidak akan meraih sebarang memanfaat dengan mewujudkan suasana tidak senang,  ketegangan yang tidak diperlukan atau masalah ke atas tanah yang dimilikinya, seperti yang dituduh oleh pihak-pihak tertentu.

”Ini akan memberi kesan kepada proses yang aman dan sah melalui mahkamah, selain meminta bantuan daripada pihak berkuasa untuk memantau proses pemindahan kuil berkenaan ke tapak baru seperti yang diusahakan oleh One City,” kata kenyataan itu lagi.

One City juga menjelaskan semua fakta berkenaan boleh diperolehi sekiranya pihak-pihak berkenaan mengikuti secara langsung tindakan-tindakan yang diambil oleh One City, termasuklah beberapa kali menangguhkan pelaksanaan writ pemindahan dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

”Sekali, One City ingin menegaskan bahawa semua tuduhan penggunaan cara-cara yang tidak mengikuti lunas undang-undang terhadap One City dalam usaha untuk mengambil alih tanah tersebut adalahadalah tidak benar sama sekali.

”Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana tuduhan fitnah yang telah dibuat atau akan dibuat terhadap One City berhubung isu kuil ini.”

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.