Siakap Keli

Pegawai Bomba Kritikal Dipukul, Menteri Minta Polis Ambil Tindakan Tegas

Susulan insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan dalam satu kenyataan akhbar hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan perusuh yang menyerang anggota bomba dalam kejadian semalam.

Menterinya, YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku ke atas anggota penyelamat yang sedang menjalankan tugas dan tindakan tegas harus diambil kepada semua pelaku.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru seluruh rakyatnegara ini untuk mematuhi undang-undang dan yakin dengan kebolehan pihak berkuasa, khususnya PDRM untuk menyelesaikan isu ini dengan tertib dan aman.

Kenyataan Akhbar – YB Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan

ANGGOTA BOMBA DISERANG SEMASA RUSUHAN DI KUIL SEAFIELD

Kuala Lumpur, 27 November: Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan mengecam sekeras-kerasnya tindakan perusuh di Kuil Seri Mahamariaman, Seafield, yang menyerang anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.

Saya dimaklumkan seorang anggota JBPM dari unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) JBPM telah cedera diserang oleh perusuh, yang juga telah melakukan kerosakkan kepada kenderaan dan kelengkapan JBPM.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku keatas anggota penyelamat yang sedang menjalankan tugas. Saya dimaklumkan, secara jelas anggota tersebut masih lagi berada dalam kenderaan, sebelum beliau ditarik keluar dan dipukul oleh perusuh.

KPKT berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan bertindak tegas kepada pelaku yang menyebabkan insiden ini.

Bagi anggota JBPM yang tercedera semasa insiden tersebut berlaku, KPKT akan memastikan beliau mendapat kemudahan perubatan dan rawatan sewajarnya. Anggota tersebut yang berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami kecederaan teruk dibahagian dada (Major Blunt Chest Trauma) dan kini mendapat bantuan pernafasan maksimum (maximum ventilatory and medication support).

Beliau kini sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) , Subang Jaya Selangor oleh sekumpulan doktor pakar.

Insiden ini perlu ditangani dengan secara berhemah, yang mana wakil-wakil dari persatuan, rumah ibadat dan pihak yang berkepentingan perlu mencapai satu konsensus secara muafakat untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.

Satu proses mediasi atau perbincangan perlu dilaksanakan secara segera agar inisiden ini tidak berlarutan, bagi menjaga keharmonian dan keamanan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Saya ingin menyeru, seluruh rakyat Malaysia untuk mematuhi undang-undang dan yakin dengan kebolehan pihak berkuasa, khususnya PDRM untuk menyelesaikan isu ini dengan tertib dan aman.

YB Puan Hajah Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia.

Sumber : Zuraida Kamaruddin

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.