Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Polis Tidak Lagi Bertolak Ansur Pastikan Keselamatan Terkawal – KPN

IPOH, 27 Nov (Bernama) — Polis tidak lagi akan bertolak ansur bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal susulan insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata setakat ini, tiada penutupan jalan dilakukan di sekitar kuil berkenaan kerana ia akan menimbulkan kesusahan kepada orang ramai namun pihaknya akan membuat penilaian sama ada perlu untuk melakukan sekatan.

“Saya juga telah memberi arahan kepada Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor bahawa kami tidak boleh bertolak ansur lagi bagi memastikan keadaan keselamatan akan dapat terus dikawal.

“Semalam, selain FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan), kami telah meletakkan PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk mengukuhkan kawalan keselamatan dengan harapan tiada apa yang berlaku. Namun malangnya ada tempat tertentu bila kita tiada, mereka mengambil tindakan tidak sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara 2018 kepada 252 pegawai dan anggota polis di Mess Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi Isnin, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil sebelum tercetus pergaduhan antara dua kumpulan sehingga dilaporkan 18 kenderaan dibakar dan beberapa motosikal dibakar.

Ekoran kejadian itu, polis dilaporkan telah menahan 21 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut.

Mohamad Fuzi juga meminta agar semua pihak termasuk anggota politik mendapatkan maklumat sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Beliau menegaskan agar semua pihak tidak menuduh polis sembarangan tanpa mendapatkan maklumat yang sahih.

“Semua pihak patut tutup mulut agar tidak mengeruhkan lagi keadaan, termasuk ahli politik, mereka juga perlu sama-sama meredakan keadaan ini dan jangan menuduh polis dengan berkata kita tiada di tempat kejadian dan sebagainya, itu amat tidak bertanggungjawab sama sekali.

“Begitu juga pihak yang tidak berkaitan dengan insiden ini, saya harap semua pihak perlu faham tentang usaha kami yang berterusan untuk mengawal keadaan. Perkara seperti ini akan merumitkan lagi proses siasatan dan saya harap ia akan diberi perhatian oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata pihak polis sudah menerima petunjuk berhubung kejadian ini namun siasatan akan terus dipergiatkan sebelum mengeluarkan kenyataan lebih lanjut.

”Ketika ini juga kami sedang menjalankan operasi mengesan dan memburu mereka yang bertangungjawab membakar dan memecahkan cermin kereta termasuk yang berlaku pada awal pagi tadi.

Pada majlis sebelum itu, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan mendahului menerima pingat berkenaan yang dianugerahkan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan kebaktian mereka kepada negara terutamanya pada zaman darurat serta mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.