Siakap Keli
Gambar : Bernama

”Saya Sangat Sedih Dan Kecewa, Sepanjang Mentadbir Negara Tak Pernah Berlaku Begini,” – Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu kenyataan di laman facebook rasminya menzahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya.

Jelas beliau, sepanjang negara berada di bawah tempoh pentadbirannya, tidak pernah berlaku perkara keganasan yang melampaui batas seperti ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa tindakan tegas diambil oleh semua pihak yang bertanggungjawab dan turut menyeru agar semua rakyat mengambil langkah bertenang tanpa mengikut perasaan.

Saya berasa kecewa dengan insiden rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights.

Sepanjang tempoh pentadbiran saya, tidak pernah berlaku konfrontasi melampaui batas undang-undang atau tindakan keganasan sebegini.

Segala pembinaan, pemindahan atau penempatan semula mana-mana tempat beribadat dan perumahan, selalunya dibuat mengikut perancangan setelah konsultasi dan rundingan, dan mendapat persetujuan oleh semua pihak.

Kita cari penyelesaian yang baik sentiasa dan berpihak kepada rakyat.

Saya berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terperinci dan saya doakan agar keputusan memihak kepada rakyat nanti.

Saya amat sedih membaca kenyataan demi kenyataan pemimpin hari ini yang menyalahkan sesama sendiri dan ada juga yang salahkan pihak berkuasa – yang hari ini di tangan dan kawalan mereka.

Tindakan segera dan amaran tegas juga perlu dikeluarkan kepada semua pihak supaya tiada yang mengambil tindakan undang-undang sendiri tanpa menghiraukan undang-undang negara.

Saya menyeru kepada semua pihak. Bertenang. Peliharalah keharmonian negara dan perpaduan kaum.

Jangan musnahkan apa yang kita telah bina sejak sekian lama.

Malaysia ini tanah air kita semua.

Saya sedih, sangat sedih ini berlaku di negara kita. Tiada perkataan yang dapat gambarkan betapa saya dan keluarga kecewa dengan keadaan ini.

Anggota-anggota pasukan penyelamat perlu diberi penuh penghormatan dan kerjasama oleh semua pihak dan tidak patut dihalang dari menjalankan tugas mereka. Dan tentu sekali, mereka tidak patut diserang.

Saya doakan anggota bomba ini, Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital segera sembuh dan pulih seperti sediakala.

Saya mohon kita semua doakan yang sama untuk Muhammad Adib.

Kepada keluarga Muhammad Adib, banyakkan bersabar dan tabah melalui saat ini. Perbanyakkan doa moga Muhammad Adib segera pulih.

Pada masa ini, kita semua perlu bertenang. Jangan ragut keharmonian kita.

Sumber : Najib Razak

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.