Siakap Keli
Gambar : Youtube

(Video) Tergamak Celup Muka Pekerja Dalam Sup Panas Hingga Melecur Teruk, Bos Beri Alasan Sekadar ‘Prank’

Seorang majikan sebuah syarikat hiburan Jepun menerima padah disaman bekas pekerjanya selepas menyebabkan kecederaan terbakar yang teruk pada muka lelaki itu akibat dicelup ke dalam periuk sup yang sedang mendidih semasa berlangsungnya acara syarikat.

Insiden itu difahamkan berlaku pada Disember 2015, tetapi mula menjadi perhatian sekali lagi selepas media melaporkan mengenai tuntutan mahkamah terhadap kes tersebut minggu ini.

Sebuah video kejadian juga disiarkan semula di YouTube oleh Daily Shincho. Walaubagaimana pun, tidak dapat dipastikan mengapa pekerja itu mengambil tempoh selama tiga tahun untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menurut Apple Daily, mangsa yang berusia 23 tahun telah ditolak dan dicelup mukanya ke dalam periuk sup yang sedang mendidih oleh presiden syarikat yang ketika itu berusia 25 tahun semasa acara makan-makan akhir tahun.

Gambar :Asia One/Youtube/Daily Shincho

Apa yang lebih menyedihkan, rakan-rakannya yang lain terus bersorak berbanding menyelamatkannya, malah seorang lelaki dapat dilihat terus memasak hidangan seperti stimbot menggunakan periuk yang sama.

Masih tidak berpuas hati dengan tindakannya itu, bos itu dipetik sebagai berkata: “Ada pelanggan di sini, jadikan ia lebih menyeronokkan,” sebelummencelup muka mangsa ke dalam sup untuk kali kedua. Kali ini, tindakannya itu lebih teruk dan kasar, sehingga periuk terjatuh dari dapur.

Foto wajah mangsa selepas kejadian menunjukkan kesan lepuh dan parut yang menyakitkan. Ketika ditemuramah oleh Weekly Shincho, presiden syarikat itu mendakwa kejadian itu ‘hanya sekadar prank (usikan)’.

Mangsa mendakwa dia sentiasa dibuli di tempat kerja dan mengalami tekanan emosi dan fizikal sejak kejadian itu. Kesan melecur di wajahnya juga dilaporkan mengambil masa sebulan untuk sembuh.

Video itu tular di YouTube dan di laman blog mikro Weibo, yang mana ia telah ditonton lebih 4 juta kali.

Rata-rata netizen berasa marah dan mengutuk perbuatan buli selain menyatakan sokongan mereka terhadap mangsa dalam membawa pelaku ke muka pengadilan.

Kejadian itu juga ditonjolkan dalam satu kaji selidik oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun baru-baru ini yang memperlihatkan bahawa gangguan di tempat kerja oleh pihak atasan telah meningkat.

Bercakap mengenai kejadian itu, lelaki tersebut menyatakan kesedihannya: “Apabila saya melihat periuk panas, ia mengingatkan saya tentang masa lalu dan ia sangat menyakitkan.”

Sumber : Asia One

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.