Siakap Keli
Gambar : Bernama

Insiden Kuil : Netizen Jangan Jadi ‘Batu Api’ – Setiausaha Agung PBS

Kota Kinabalu : Netizen diseru supaya tidak menjadi ‘batu api’ dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor  kerana sikap sedemikian hanya akan memburukkan keadaan.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah Datuk Jahid Jahim berkata insiden itu sememangnya mengejutkan rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak namun masyarakat am tidak perlu mengikut emosi dan mengeruhkan lagi suasana.

“Kita sedar dalam zaman IT (teknologi maklumat) ini, walau apapun yang berlaku di pelusuk dunia boleh sampai ke pengetahuan kita dalam sekelip mata menerusi aplikasi media sosial. 

“Oleh itu, adalah penting untuk kita berhati-hati dan peka terhadap maksud setiap kata-kata yang kita guna pakai untuk komen dalam Facebook, terutamanya dalam ruangan maklum balas portal berita dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jahid turut meminta netizen tidak mengongsikan video mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menghasut dan menimbulkan sentimen perkauman selain menyerahkan  perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

Katanya insiden itu turut memberi kesan kepada masyarakat di Sabah yang bimbang dengan keselamatan anggota keluarga dan sahabat yang sedang melanjutkan pelajaran atau bekerja di Selangor.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.