Siakap Keli

(Video) ”Peguam Pemaju Telah Mengupah Sekumpulan Lelaki Melayu”, Dedah Menteri KDN

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui satu sidang media sebentar tadi memberi kemas kini lanjut mengenai siasatan polis terkini berhubung insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Isnin lalu.

Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati bahawa peguam kepada pemaju One City Developement Sdn. Bhd didapati telah mengupah sebanyak RM 150,000 kepada sekumpulan lelaki Melayu berjumlah 50 orang untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil tersebut.

”Setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM 150 sehingga RM 300. Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang ini menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakkan harta benda.

”Saya amat kesal dengan tindakan gopoh dan cuai yang diambil pihak berkaitan dengan syarikat pemaju yang jelas melanggar undang-undang.

”Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan diantara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di Kuil Sri Maha Mahariamman tidak akan berlaku,” katanya.

Susulan itu katanya, pihak polis sudahpun menahan seramai 21 orang individu untuk membantu siasatan. Malah pihak polis meneruskan siasatan bagi membolehkan lebih ramai individu yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan termasuk kumpulan lelaki India yang merusuh sehari kemudian.

”Insiden kedua ini telah menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakkan harta benda milik awam dan persendirian.

”Saya ingin menegaskan bahawa insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman tiada kaitan langsung dengan isu perkauman. Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah hidup aman dan harmoni sejak sekian lama.

”Tidak mungkin dengan hanya satu kejadian terpencil yang membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju dijadikan sebab untuk mengeruhkan hubungan kaum dan agama di negara kita,” katanya lagi.

Ujar belia, satu pasukan petugas khas telah pun dibentuk oleh polis bagi meneliti dan menyiasat semua aspek yang menjadi punca kepada kejadian rusuhan ini.

Ketika ditanya oleh wartawan sama ada tindakan peguam berkenaan atas arahan daripada pemaju, beliau menjawab tidak mungkin peguam tersebut bermurah hati untuk memberikan wang kepada kumpulan ini dan tentunya ada kaitan dengan sumbangan yang diterimanya daripada pihak pemaju untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Peguam tersebut sudahpun dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sumber : Tan Sri Muhyiddin Yassin

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.