Siakap Keli

Harga Tiket Melaka River Cruise Naik Lebih 50 Peratus

Harga tiket Melaka River Cruise mengalami kenaikan lebih 50 peratus bagi semua kategori pengunjung bermula hari ini bagi menampung kos pengoperasian produk pelancongan  berkenaan  di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata kenaikan harga tiket itu juga selaras dengan penambahbaikan yang akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memberi nilai tambah bagi produk pelancongan berkenaan dengan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Beliau berkata harga baharu bermula RM15 hingga RM30 bagi seorang pengunjung itu akan diselaraskan untuk pengunjung yang menaiki Melaka River Cruise pada hari biasa, hujung minggu, cuti sekolah atau  cuti  umum.

“Harga baharu berkenaan terpaksa dikenakan kerana PPSPM merupakan sebuah badan berkanun yang beroperasi menggunakan sumber kewangan sendiri tanpa bantuan daripada kerajaan negeri atau persekutuan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Azlan berkata harga baharu itu juga selaras dengan penambahan jarak keseluruhan laluan bot kepada 19 kilometer yang mengambil masa kira-kira dua jam berbanding sembilan kilometer yang melibatkan masa 45 minit.

Azlan berkata PPSPM berbesar hati untuk memberi diskuan RM3 daripada semua katagori harga tiket baharu yang dikenakan selama sebulan bermula hari ini sebagai promosi dan mengurangkan tekanan pengunjung.

Beliau berkata sebanyak 50 hingga 55 bot baharu dijangka akan dibeli secara berperingkat bermula tahun hadapan bagi menggantikan bot lama terutama yang telah berusia lapan tahun ke atas.

“Setakat ini, kita mempunyai sebanyak 41 bot namun hanya 32 bot yang beroperasi sepenuhnya dan jumlah itu belum cukup untuk menampung jumlah pengunjung,” katanya. – Bernama

Nur Farra