Siakap Keli

Bantuan Sekolah 50,000 Ringankan Beban Penduduk Lembah Pantai – Kementerian Wilayah

Kementerian Wilayah menyampaikan bantuan keperluan persekolahan kepada 300 murid dari sekolah rendah kebangsaan terpilih di kawasan Lembah Pantai dengan jumlah keseluruhan sumbangan RM50,000.

Menterinya Khalid Abdul Samad yang menyampaikan bantuan tersebut berkata sumbangan itu dapat memberikan kelegaan dan meringankan beban kepada sebilangan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Sesungguh memang menjadi dilema bagi ramai warga bandar dan desa bila tiba musim persekolahan. Ianya dapat mengurangkan beban ibu bapa untuk membuat persediaan persekolah kepada anak-anak,” katanya di program Karnival Kembali Ke Sekolah , di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berkata menjadi berita gembira buat Malaysia kerana diumumkan berada di kedudukan teratas senarai negara yang sedang meningkat naik   selepas enam bulan Pakatan Harapan mentadbir negara.

Beliau berkata laporan kajian yang dikeluarkan Bloomberg, Malaysia menunjukkan kadar pertumbuhan tinggi mendahului Rusia, China, Thailand, Filipina dan Korea Selatan.

“Dalam tempoh enam bulan mentadbir negara, kita dapat mengatasi banyak isu penting seperti penyelewengan dan salah guna kuasa. Dunia mengiktiraf kita sebagai negara yang paling ‘top’,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu larangan membuka pusat hiburan di ibu kota selepas pukul 1 pagi mulai tahun depan, Khalid menjelaskan ia bergantung kepada lesen atau permit yang diberikan kepada premis terbabit dan perlu mengikut had operasi yang dibenarkan sama ada sehingga 1 pagi, 3 pagi atau 5 pagi.

— BERNAMA

Nur Farra