Siakap Keli

Pemansuhan Akta Pampasan Pekerja Hanya Untuk Pekerja Warga Asing – Menteri

Pekerja tempatan tidak akan terkesan dengan pemansuhan Akta Pampasan Pekerja 1952, kata Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran.

Beliau berkata timbul salah faham apabila perkara itu diumumkan pihaknya Jumaat lepas sedangkan ia sebenarnya tidak ada kena mengena dengan pekerja tempatan.

“Saya pastikan pekerja tempatan tidak akan menghadapi sebarang kekurangan, sebaliknya akan dapat lebih daripada apa yang akan dilaksanakan ini,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Kulim di sini, hari ini.

Beliau berkata pemansuhan akta itu adalah bagi menjaga kebajikan warga asing yang bekerja di negara ini dari segi perlindungan insurans di samping menunjukkan kerajaan tiada sebarang diskriminasi terhadap mereka.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan Konvensyen Kesamaan Rawatan (Pampasan Kemalangan) 1925 (No 19) dan Jawatankuasa Persidangan Penggunaan Piawaian di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Kulasegaran berkata, tidak seperti pekerja tempatan, mereka dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mencarum untuk pekerja mereka.

“Misalnya, baru-baru ini wakil kerajaan Jepun ada bertemu saya dan meminta rakyat kita untuk bekerja di sana kerana populasi mereka semakin berusia. Jadi, kita mesti mahu pekerja kita yang pergi ke sana dilindungi insurans.

“Kita tidak mahu jadi seperti kejadian di Bukit Kukus, banyak melibatkan pekerja asing, mereka mati begitu sahaja sedangkan mereka juga manusia, jadi kita kena bersifat adil,” katanya merujuk kepada kejadian tanah runtuh yang mengorbankan sembilan nyawa di Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang, Oktober lepas.

Mengenai lawatan ke Adtec, Kulasegaran berkata kerajaan perlu mengambil inisiatif lebih berkesan  untuk menonjolkan institusi berkaitan kemahiran bagi menarik lebih ramai golongan muda mempelajari bidang Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (TVET).

Katanya, pada masa ini tahap kebolehpasaran graduan TVET sangat tinggi dan stigma masyarakat terhadap bidang itu juga sudah berubah.

“Ramai anak muda menganggur sebab tidak ada kemahiran, mereka perlu pelajari bidang ini dan kita akan lihat semula institusi-institusi kemahiran ini agar dapat menarik lebih pelajar pada masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)