Siakap Keli
Foto: Malaysia Dateline

DBKL Benarkan Perhimpunan Kesyukuran ICERD Di Jalan Raja

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja, di sini, pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja sahaja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

“Kami telah menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada MUAFAKAT (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), UMMAH (Gerakan Pembela Ummah), dan DAULAT (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) sahaja pada 27 Nov lepas.

“Sepanjang perhimpunan kesyukuran itu berlangsung, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan…. Jalan Raja serta padang Dataran Merdeka akan ditutup pada hari itu,” katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal lalu lintas dan keselamatan awam.

“PDRM akan bermesyuarat pada Rabu ini bagi membincangkan secara terperinci mengenai perhimpunan itu,” katanya.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

— BERNAMA

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di