Siakap Keli

Perompak Kepenatan, Ditangkap Tertidur Sewaktu ‘Bekerja’

Media Rusia baru-baru ini melaporkan kes pelik pencuri yang ditangkap oleh pihak polis semasa memecah masuk ke bangunan pejabat di bandar Orenburg dan kemudian tertidur di kerusi pejabat.

Kejadian cubaan merompak itu dilakukan oleh suspek lelaki yang berusia 36 tahun apabila dia memecah masuk sebuah bangunan pejabat swasta di Jalan Sharlykskoye, Orenburg melalui tingkap kecil pada 20 November lalu.

Lelaki itu kemudiannya menggunakan pelbagai alat, seperti pemutar skru, pemotong wayar, tukul, penarik kuku, dan beberapa jenis kunci untuk memecah masuk beberapa pejabat syarikat swasta bagi merompak barang berharga.

Setelah berjaya merompak wang tunai berjumlah AS$ 2,100 (RM 8,780), dia tidak segera keluar dari bangunan tersebut malah memilih untuk beristirehat sebentar sebelum tertidur dan diserbu polis.

Kehadiran suspek disedari oleh salah seorang pengawal keselamatan semasa memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya segera menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan kejadian tersebut.

Ketika pihak berkuasa tiba dilokasi kejadian, lelaki itu ditemui sedang tertidur bersama beg yang mengandungi wang tunai hasil rompakan sebelum diberkas dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.

Sumber: Oddity Central

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar