Siakap Keli
AFF Suzuki

Penalti ‘Kelangit’ , Thailand Akhirnya Yang Dapat Mimpi Ngeri

Kata-kata penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom dalam sidang media sebelum ini yang mengatakan Malaysia bakal berhadapan dengan mimpi ngeri ketika turun beraksi pada separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala memakan diri akhirnya.

Ini selepas skuad Harimau Malaysia berjaya bangkit untuk mengikat lawan selepas dua kali ketinggalan dengan menyamakan kedudukan 2-2 sekaligus bakal beraksi di pentas akhir. Menanti di sana, sama ada Vietnam mahupun Filipina.

Selepas seri tanpa jaringan di Bukit Jalil, Sabtu lalu, Malaysia yang hanya memerlukan keputusan seri 1-1 untuk layak dikecewakan dengan jaringan sendiri pertahanan negara, Irfan Zakaria pada minit ke 21 sebelum rembatan padu Muhammad Syahmi Safari pada minit 28 berjaya mengikat kedudukan 1-1 sama separuh masa pertama.

Thailand sekali lagi dihadapan apabila situasi kelam kabut dihadapan gol hasil sepakan percuma dimanfaatkan oleh Pansa Henviboon untuk Thailand kembali di hadapan pada minit 63. Penjaring terbanyak skuad kebangsaan di kejohanan ini, Norshahrul Idlan Talaha kembali menceriakan penyokong-penyokong bola sepak tempatan hasil jaringannya pada minit ke 71.

Ketika Malaysia berkira-kira untuk meraikan kejayaan di minit-minit akhir perlawanan, tindakan Muhamaad Syahmi Safari yang tertampan bola dengan tangan pada minit ke 94 membuatkan seluruh stadium gamat dengan sorakkan penyokong Thailand, manakala dalam kalangan penyokong Malaysia, suasana hening seketika.

Syahmi dilayangkan kad merah dan penalti, harapan Malaysia ke final seolah-olah bakal direntap dengan kuat, namun mujurlah sepakkan penalti diambil pemain Thailand terbang meliar melepasi palang gol, dan tiupan akhir wisel. Malaysia menang dan ke final.

Tahniah Harimau Malaya.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.