Siakap Keli

Denda RM100,000 Jual Makanan Mudarat Kesihatan, KKM Perjelas Isu Hidang Minuman Dalam Tin Kitar Semula

Tular di media sosial baru-baru ini apabila gambar minuman yang dihidangkan di dalam tin kitar semula mendapat perhatian netizen kerana ada yang berpendapat cara itu membahayakan kesihatan.

Hal ini turut membuatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpanggil untuk menjawab isu terbabit.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial. Isu ini timbul apabila sebuah kedai makan di Pulau Pinang dipercayai menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.

Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.

Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan supaya orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman. Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Bahagian/Kawasan yang terdekat atau pengguna boleh menghubungi KKM melalui laman web  atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)  www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 DISEMBER 2018

Nur Farra