Siakap Keli
Gambar : Bernama

Najib Beri Keterangan Di SPRM Berhubung Siasatan Pindaan Laporan Akhir Audit 1MDB

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan kira-kira empat jam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan pada laporan akhir audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sebuah kenderaan jenis Mercedes yang dipercayai membawa Najib dilihat meninggalkan bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini pada kira-kira pukul 2.30 petang, diiringi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia berwarna perak.

Kehadiran Najib di ibu pejabat SPRM itu pada kira-kira pukul 10.30 pagi dimaklumkan oleh jurucakap SPRM setelah pihak media tidak dapat mengesan ketibaannya.

Pada 25 Nov lepas, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan Najib tahu mengenai perkara itu.

Madinah turut mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Pada hari sama, SPRM dilaporkan berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berkaitan dakwaan pindaan laporan itu dan akan memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan dan membantu siasatan.

Semalam, SPRM memanggil bekas Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Turut dipanggil semalam ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, yang hadir buat kali kedua selepas memberi keterangan pada 26 November lalu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.