Siakap Keli
Sumber : Galleriakotaraya.com

Kerajaan Sediakan Dokumen Mula Prosedur Pembatalan Sijil Amanah Ikhtiar Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) — Kerajaan sedang menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memulakan prosedur pembatalan sijil Pemerbadanan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah terutamanya dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata berdasarkan Surat Ikatan Amanah 26 April 2012 klausa 3(c), penubuhan anak syarikat adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata, dalam hal ini menteri melalui Seksyen 171 (c) Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) boleh membatalkan Sijil Pemerbadanan AIM sekiranya didapati melaksanakan aktiviti yang bercanggah dengan objektif sebagaimana dinyatakan melalui Surat Ikatan Amanah.

“AIM ini tujuan membantu isi rumah termiskin tapi nampaknya ada juga pelanggaran undang-undang oleh kerajaan sebelum ini… memang wujudnya anak syarikat walaupun tidak dibenarkan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Hanipa menjawab soalan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang ingin tahu langkah yang telah diambil terhadap AIM yang tidak memenuhi syarat-syarat Suratcara Ikatan Amanah dalam penubuhan anak-anak syarikat.

Menjawab soalan tambahan Akmal Nasrullah, Mohamed Hanipa memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengenepikan golongan termiskin yang menerima pinjaman AIM sekalipun ia dibatalkan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.