Siakap Keli
Gambar Hiasan Penjawat Awam - Bernama

Penstrukturan Semula Skim Pencen Hanya Libat Pegawai Lantikan Baharu – Menteri

Kuala Lumpur : Penstrukturan semula skim pencen penjawat awam hanya akan melibatkan pegawai lantikan baharu dan bukan penerima pencen sedia ada, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata kerajaan memberi jaminan segala bentuk penstrukturan dan kajian terhadap faedah persaraan dan skim pencen penjawat awam tidak akan memberi kesan kepada faedah persaraan dan kemudahan sedia ada walaupun kerajaan mengalami kekangan kewangan.

“Sehingga Oktober 2018, kerajaan menanggung seramai 824,235 penerima pencen dengan jumlah tanggungan dari Januari hingga Oktober 2018 adalah RM24 bilion.

“Sekiranya penstrukturan skim pencen dilaksanakan, ia hanya akan melibatkan pegawai lantikan baharu sahaja dan tidak melibatkan penjawat awam yang telah menerima pencen serta tidak akan menjejaskan segala kemudahan dan faedah yang mereka nikmati selama ini,” katanya menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menstrukturkan semula skim pencen penjawat awam.

Dr Md Farid berkata pada masa sekarang kajian penstrukturan belum dimuktamadkan namun kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan untuk mencari formula terbaik dalam menangani perkara dengan memastikan kebajikan penjawat awam terus dipelihara.

Bagi menjawab soalan tambahan Jamilah berhubung jangkaan tempoh kajian, beliau berkata kerajaan sedang menjalankan kajian bagi memperkasakan perkhidmatan awam yang penstrukturan semula skim pencen penjawat awam turut dijalankan secara bersekali dengan kajian tersebut dan dijangka mengambil masa dua tahun bermula 2019.

Sumber : Bernama

Nuraiyshah A.L

Being a sleepy girl with a busy life is hard.

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.