Siakap Keli
Gambar Sekadar Hiasan

”Lepas Subuh Baca Al-Quran, Sejam Lepas Tu Awak Dah Tak Ada,” Indahnya Pemergian Lelaki Ini, Sempat Beri Pesanan Terakhir Pada Isteri

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pemergian insan tersayang dalam hidup pastinya perit untuk diterima apatah lagi bila kita masih tidak bersedia untuk kehilangannya. Namun, sebagai hambanya, kita harus menerima setiap takdir yang telah ditetapkan.

Luahan sayu wanita yang kehilangan suaminya ini ternyata membuatkan ramai yang mengalirkan air mata. Sesungguhnya kematian lelaki ini sangat dicemburui. Setelah selesai membaca al-Quran selepas solat subuh berjemaah bersama isteri, dia dijemput pulang pada pagi Jumaat yang mulia.

Isterinya, Ummi Aishah Umaira ketika dihubungi Siakap Keli berkata, suaminya itu meninggal dunia kerana kanser yang menyerang semula dalam masa yang singkat.

”Pada tahun lepas, suami didapati menghidapi kanser limfoma, tapi masih dalam peringkat awal. Setelah  melakukan rawatan dia telah berjaya sembuh sebelum kanser tersebut merebak semula pada bulan 8 lalu dan terus berada pada peringkat akhir,” katanya.

Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Sesungguhnya, dia merupakan insan terpilih. Segala pesanan yang ditinggalkan seperti yang dikongsi oleh isterinya ini mungkin boleh menjadi iktibar dan pedoman kepada kita yang masih hidup. Al-fatihah!

Buat sahabat2 Angah.. terima kasih atas doa dan al-fatihah kalian. Hanya Allah SWT yang mampu membalas.

Ini pesanan akhir Arwah setelah selesai tahajjud sebelum dia pergi.

Jaga solat 5 waktu.

Al-Mulk..jangan pernah tinggal. bacalah setiap hari setiap kali selesai solat dan sebelum tidur. Insyaa Allah takkan ada azab kubur.

Ringankan tangan untuk sedekah. sebab itulah satu-satunya perkara yang akan dibuat oleh manusia yang sudah mati jika diberi peluang untuk hidup kembali.

Selamat jalan suamiku sayang. Sungguh saya cemburu dengan cara pemergian awak. Awak insan terpilih untuk menuju syurga tanpa hisab. Jangan lupa untuk bawa saya dan anak kita bersama ke taman syurga awak.

Selasa. Pagi tu awak cerita dekat saya awak mimpikan arwah pak lang dan mak lang. Awak jalan dengan diorang kat satu taman. Awak cakap cantik sangat taman tu.

Rabu. Sekali lagi awak ceritakan pasal mimpi awak. Tpi kali ni awak cakap paklang datang hulur tangan kat awak dan awak sambut tangan pak lang. Saya hanya mampu diam dan senyum dengar cerita awak. Tapi hati dah mula tak tenang.

Khamis. Saya lihat awak macam sihat sangat. Macam orang yang tak sakit. Awak kemas rumah. Awak main dengan Umaira. Saya gembira sangat tengok awak.

Jumaat. Seperti kelaziman awak. Awak akan bangun jam 2.30-3.00 pagi. Awak kejut saya bangun tahajjud sama². Lepas tahajjud awak duduk termenung. Lepastu awak pesan supaya sayangkan Umaira dan jaga dia baik². Saya iyakan semua. Lepastu awak tidur semula sekejap.

5.00 pagi awak bangun lagi dan kejutkan saya utk berjemaah solat subuh. Umaira masih lagi tidur. Selesai solat subuh awak buka Quran. Awak baca al-Mulk. Saya dengar. Sayu sangat. Lepas siap awak cakap awak penat. Awak nak tidur sekejap. Awak baring atas sejadah.

Saya bangun dan keluar kejutkan adik-adik awak. Saya masuk semula dalam bilik dan awak panggil saya. Awak cakap awak sakit dada. Saya suruh awak baring atas katil. Saya sapukan minyak angin saya urutkan dada awak. Lepastu awak tertidur.

Saya turun ke dapur. Sediakan sarapan untuk awak. Tak lama lepastu saya dengar Umaira nangis. Saya bergegas ke bilik. Sy tengok awak tidur lena. Saya dukung Umaira pergi ke dapur buatkan susu. Kemudian saya ke bilik semula kejutkan awak. Awak tak bangun. Kaki awak sejuk. Saya kejut lagi awak tak bangun. Saya dah tak keruan. Risau.

Saya dengar ayah balik dari masjid. Saya panggil ayah tengokkan awak. Ayah mengucap panjang. Ayah cakap awak dah tak ada. Allahuakbar… Gelap seketika dunia saya. Air mata ni tak mampu lagi nak tahan. Saya terduduk. Mak datang peluk saya. Awak dah pergi tinggalkan kami semua.

Awak… Saya tahu awak dah penat sangat lawan sakit awak kan. Rehatlah awak. Saya redha. Saya bersyukur sangat ada suami macam awak. Walaupun Allah pinjamkan awak hanya seketika untuk saya. Tunggu kami datang nanti ye awak. Semoga awak tenang di sana. Jangan risau.. Umaira saya akan jaga dengan penuh kasih sayang.

Lepas ni dah takda lagi dah yang nak jadi imam saya. Dah tak ada lagi yang akan bergurau dan nasihatkan saya. Dah tak ada lagi teman tahajjud saya. Dah tak dapat dengar lagi bacaan Al-Mulk setiap kali sebelum tidur. Semuanya awak dah bawa pergi.

Insyaa Allah saya akan teruskan apa yang awak selalu buat. Saya akan ajar anak kita sekali. Saya akan ceritakan semuanya tentang awak pada Umaira. Terima kasih awak sebab didik saya selama ni.

Kucing Kelabu/Angah/Rul dalam kenangan
15/08/1987-07/12/2018
Al-Fatihah.

Maaf buat sahabat sahabat angah semua kerana lambat maklumkan. Saya baru ada kekuatan untuk ceritakan.

Sumber : Ummi Aishah Umaira

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.