Siakap Keli

Episod Hujan Lebat Di Kelantan Mungkin Berlanjutan Ke Bulan Januari

Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan episod hujan lebat berkemungkinan akan berlanjutan ke bulan Januari tahun hadapan di negeri ini.

Pengarahnya Rabiah Zakaria berkata ia berikutan Kelantan masih dipengaruhi Monsun Timur Laut pada bulan berkenaan.

“Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan akan berlaku empat hingga enam episod hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut pada tahun ini dengan purata jumlah hujan antara 440 milimeter (mm) hingga 690mm bagi bulan Disember ini di Kelantan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Rabiah berkata setakat ini empat episod hujan lebat telah berlaku di pantai timur termasuklah yang sedang berlaku sekarang.

Beliau berkata pemantauan masih lagi diteruskan dari semasa ke semasa bagi menentukan kemungkinan tersebut kerana bulan Disember belum berakhir.

“Jika ramalan itu berlaku, ia sedikit sebanyak mungkin akan memberi kesan kepada persediaan untuk sesi persekolahan baharu tahun hadapan,” katanya.

Rabiah bagaimanapun berkata amaran awal akan dikeluarkan jika dikesan kemungkinan hujan lebat akan berlaku dalam tempoh tersebut.

Isnin lepas Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Dis ini.

Agensi itu turut melaporkan amaran cuaca waspada itu dijangka berlaku di jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan.

Turut dilaporkan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang juga diramal mengalami hujan lebat dalam tempoh sama.

— BERNAMA

Nur Farra