Siakap Keli

Petugas Pos Malaysia Campak Air Zam-Zam Digantung Tugas

Tular baru-baru ini satu klip video dimana seorang petugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menguruskan bagasi penumpang dipercayai air zam-zam secara tidak beretika.

Penularan video berkenaan nyata mencetuskan kemarahan netizen yang berpendapat petugas berkenaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian walau apa pun alasan yang diberikan.

Melalui satu kenyataan media, Pos Malaysia mengesahkan bahawa petugas yang terlibat dalam insiden berkenaan merupakan stafnya daripada Pos Aviation.

”Siasatan awal mendapati bahawa punca utama insiden tersebut adalah disebabkan kesesakkan teruk di bahagian karusel bagasi dan perlakuan tersebut sebenarnya dibuat bagi mempercepatkan proses muat turun kotak tersebut,” kata Pos Malaysia.

Bagaimanapun, Pos Malaysia memaklumkan bahawa stafnya yang terlibat dalam insiden berkenaan sudahpun digantung tugas yang tidak dinyatakan tempohnya.

”Kami amat mengambil berat tentang pengendalian barangan pelanggan dan tindakan susulan akan diambil setelah siasatan selesai dijalankan.

”Pos Aviation bertekad untuk memastikan kualiti perkhidmatan kami berada di tahap tertinggi dari segi kerja, etika profesional dan khidmat pelanggan yang dituntut dalam industri,” kata kenyataan itu lagi.

Pos Malaysia turut memohon maaf kepada semua pihak yang terjejas akibat insiden terpencil tersebut.

Sumber : Pos Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.