Siakap Keli

Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia : Penutupan 34 Klinik 1Malaysia (K1M)

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) — Saya mengambil maklum terhadap kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook beliau semalam berhubung penutupan 34 buah Klinik 1Malaysia (K1M).

Mantan Perdana Menteri itu pada hemat saya sengaja mewujudkan kekeliruan dan pandangan yang sempit berkaitan K1M. Isu ini telah pun saya jawab di Dewan Rakyat pada 12 Oktober 2018. Bagaimanapun terima kasih saya ucapkan kerana memberi peluang kepada saya untuk menjelaskan sekali lagi berkenaan isu ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan yang disediakan di 347 buah K1M bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, selain menyusun keperluan dan mengoptima sumber manusia dan kewangan.

K1M asalnya berperanan memberi rawatan kesihatan ringan kepada masyarakat di kawasan berpenduduk padat dan berpendapatan rendah. Bagaimanapun sejak penubuhannya, KKM mendapati bahawa bukan semua K1M beroperasi secara efektif dan telah dapat mencapai matlamat penubuhannya.

Antara kriteria pemilihan bagi PENUTUPAN sesebuah Klinik 1Malaysia adalah:

– Purata kehadiran kurang daripada 40 pesakit sehari;

– Terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak 5km dari sesebuah Klinik 1Malaysia;

– K1M tersebut TIDAK terletak di kawasan Projek Perumahan Rakyat; dan

– Dipersetujui oleh Jabatan Kesihatan di negeri yang berkenaan.

Perlu dijelaskan bahawa walaupun Kementerian telah menetapkan kriteria-kriteria di atas, setiap K1M yang dipilih untuk ditutup akan turut dinilai secara eksklusif bagi memastikan keputusan bagi penutupan adalah benar-benar wajar.

Setelah malalui proses penilaian yang komprehensif, sebanyak 34 buah K1M yang akan ditutup kerana memenuhi kriteria-kriteria di atas. Keputusan ini diambil kira bagi memastikan impak penutupan yang minima terhadap masyarakat setempat.

Kerajaan sangat prihatin terhadap kebajikan golongan masyarakat B40 dan kerana itu, klinik-klinik 1Malaysia di projek-projek perumahan rakyat (PPR) tidak ditutup meskipun purata kehadiran pesakit kurang daripada 40 pesakit sehari.

Proses penutupan fasiliti K1M adalah secara soft landing iaitu sehingga tamatnya tempoh sewaan premis masing-masing. Kakitangan di fasiliti K1M yang terlibat akan ditempatkan semula (redeployment) ke Klinik Kesihatan Induk masing-masing.

Manakala Klinik Komuniti akan diwujudkan bagi menambah nilai dari Klinik 1Malaysia serta penyusunan dan pengurusan sumber yang lebih efektif dan menjimatkan kos.

Antara fokus utama perkhidmatan Klinik Komuniti adalah menjurus kepada Rawatan Pesakit Luar fokus kepada rawatan dan kawalan penyakit tidak berjangkit serta Kecemasan Asas.

Klinik Komuniti juga akan ditambah nilai dengan menempatkan Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi di fasiliti terpilih secara berperingkat.

Daripada 347 buah K1M semasa, sejumlah 293 akan ditambah nilai dan menjadi Klinik Komuniti. Manakala 20 buah akan dinaik taraf fasiliti kepada Klinik Kesihatan, manakala 34 yang lain bakal ditutup.

Kriteria penutupan K1M akan di kaji semula dari masa ke semasa mengikut keperluan pada masa tersebut.

Segala keputusan yang diambil Kementerian adalah demi melindungi kepentingan perkhidmatan dan kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit. Ianya tidak dilakukan secara unilateral.

DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3675/019-3265122

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Editor: Fazidi

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di